Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Apabila mendengar berita kematian, pernah tak anda letakkan diri anda sendiri dalam situasi itu?
Dan mungkin pelbagai lagi persoalan yang pernah terfikir di benak minda anda. Hakikat yang perlu kita sedar adalah suatu saat nanti, kematian itu akan menimpa diri kita juga.
Sebab manusia itu tidak akan hidup selamanya. Saban hari, pasti ada sahaja berita kematian yang menjengah diri kita. Hikmah kepada diri kita yang boleh dilihat adalah ia boleh mengingatkan kita kepada kematian dan dari terus leka dengan dunia ini.
Baca : Surah al-Mulk penghalang daripada azab kubur
Apabila kita berbicara soal kematian, ia adalah perkara yang mengerikan. Semua orang takut untuk menghadapinya terutamanya apabila memikirkan amalan yang entah cukup, entah tidak untuk dipersembahkan di hadapan Allah.
Dan yang sentiasa orang sebut adalah, alam kubur itu penuh dengan kegelapan, berseorangan dan sunyi.
Waktu ini, hanya amalan sahaja yang dapat menemani kita. Hatta, orang tua atau pasangan yang sentiasa ada dengan kita pun tidak akan menemani kita. Mahupun, harta yang telah kita kumpul sebelum ini pun tidak akan ditanam bersama.
Yang menemani kita adalah kain kapan dan juga amalan. Ada tiga perkara yang akan datang menghantar kita ke kubur, namun dua darinya akan pergi dan hanya satu yang akan bersama kita di alam barzakh. Itulah amalan.
Baca : Nikmat-nikmat kubur untuk bakal jenazah
Sebagaimana sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Anas bin Malik RA, ia berkata bahawa Baginda SAW bersabda:
يَتْبَعُ الْمَيِّتَ ثَلاَثَةٌ ، فَيَرْجِعُ اثْنَانِ وَيَبْقَى مَعَهُ وَاحِدٌ ، يَتْبَعُهُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَعَمَلُهُ ، فَيَرْجِعُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ ، وَيَبْقَى عَمَلُهُ
Yang mengikut mayat sampai ke kubur ada tiga, dua akan kembali dan satu tetap bersamanya di kubur. Yang mengikutinya adalah keluarga, harta dan amalnya. Yang kembali adalah keluarga dan hartanya. Sedangkan yang tetap bersamanya di kubur adalah amalnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari, no. 6514)
Dan disebutkan juga melalui hadis dari Al-Bara’ bin ‘Azib tentang pertanyaan di alam kubur.
Ada ketika itu datang seseorang yang berwajah tampan dan berpakaian bagus, baunya pun wangi. Ia adalah wujud dari amalan soleh seorang hamba. Sedangkan orang kafir didatangi oleh orang yang berwajah buruk. Itu adalah wujud dari amalan buruknya.
(Hadis Riwayat Ahmad, 4:287. Syeikh Syuaib Al-Arnauth menukilkan ia adalah riwayat sahih)
Melalui hadis ini, dapat disimpulkan bahawa amalan yang akan menemani kita, sama ada ia yang baik mahupun yang buruk.
Jika baik amalnya, maka baiklah kehidupannya di alam sana, namun jika buruk amalnya, maka buruklah kehidupannya. Nauzubillahi mindzalik.
Inilah yang kita ingin elakkan. Sementara tuhan masih meminjamkan nyawa kepada kita, beramallah dengan amalan yang soleh agar kehidupan akhirat kita baik dan tidak menakutkan.
Wallahu a’alam.
Baca : 30 Pesanan Imam Syafie
The post 3 Perkara Yang Menemani Ke Kubur, Hanya Satu Yang Tinggal first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/35HfiTZ
via Denaihati.com