Thursday 1 February 2018

Awat Hangpa Jadi Lagu Ni...? Murid Umur 10 Tahun Positif Dadah Jenis Syabu.


MURID lelaki, 10, bersama enam adik-beradiknya didapati positif dadah dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Agensi Antidadah (AADK) Kedah di Desa KEDA Kampung Bukit, Pokok Sena, hari ini.

Pemeriksaan pada 10 pagi dilakukan AADK Kota Setar/Pokok Sena dengan diketuai Ketua Unit Pencegahan AADK Kota Setar Suria Azlina Shaarin bersama kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Penghulu Bukit Lada.

Ikon AADK Kedah Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, pihaknya bersama anggota beberapa agensi terkejut mendapati air kencing kanak-kanak berkenaan positif dadah jenis syabu ketika melakukan pemeriksaan di rumah keluarga itu.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh beradik yang berusia 10 hingga 30 tahun positif dadah.

"Mereka mempunyai lapan beradik, tetapi kakak sulung tinggal di negeri lain, manakala abang kedua berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dipercayai terjebak dengan dadah selepas kematian bapa mereka empat tahun lalu.

"Sejak itu, adik-beradiknya yang lain turut terjebak dengan dadah dengan dua daripadanya perempuan termasuk seorang bergelar ibu tunggal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya melakukan pemeriksaan sebagai usaha menyelamatkan tujuh beradik itu daripada hanyut dengan dadah.

Katanya, sebelum ini murid Tahun Empat terbabit belajar di sebuah sekolah rendah di Padang Terap, tetapi dia pulang ke rumah untuk tinggal bersama keluarga sambil mendakwa kehidupannya tidak selesa.

"Difahamkan, dua kakak dan empat abangnya adalah anak daripada ibu lain yang sudah meninggal dunia akibat kanser sejak 10 tahun lalu, manakala kanak-kanak itu daripada ibu baru, namun tidak pernah datang menjenguknya.

"Abang keempatnya masih direman oleh AADK selepas ditahan minggu lalu kerana terbabit dengan dadah, manakala abang keenam dan ketujuh berusia 16 dan 17 tahun sudah tidak bersekolah," katanya.

Menurutnya, dua beradik perempuan berusia 25 dan 22 tahun pula tidak bekerja, namun mereka ditanggung oleh abang kedua yang juga menagih dadah.

Katanya, kanak-kanak itu kini dijaga oleh JKM dan ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut, manakala dua abangnya menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSB.

"Empat beradik yang lain berada di bawah pengawasan AADK, dan kita akan melihat sama ada perlu dihantar ke pusat pemulihan atau sebaliknya, namun turut diberi kaunseling,” katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media http://ift.tt/2DVeLx3
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2BLJCKv
via MerahHatiCintaku.blogspot.com