Thursday, 1 February 2018

Salah faham crytocurrency, terutamanya BitCoin

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia,

sejak hujung tahun yang lepas, semakin ramai yang mula membuka mata untuk mempelajari topik cryptocurrency seperti BitCoin. Ianya menjadi perhatian umum apabila harganya melonjak naik kepada hampir USD20ribu seunit. Ini memang perkara yang di luar jangkaan dan menjadikan BitCoin bualan kebanyakan individu dalam masyarakat.

Namun begitu, BitCoin mendapat reputasi buruk apabila banyak salah fahaman yang berlaku apabila bercerita mengenai BitCoin ini. Jika sebelum ini kita pernah berkongsi mengenai teknologi disebalik cryptocurrency ini seperti BlockChain, Smart Contract dan seumpamanya. Kali ini kita akan bercerita apa yang perlu kita fahami dengan BitCoin ini.

Penggunaan bitcoin sebagai medium pertukaran nilai

BitCoin sebagai instrumen atau alat untuk melakukan transaksi pertukaran nilai

BitCoin ini adalah alat untuk kita menukarkan nilai yang telah dipersetujui. Contoh kita ingin menukarkan sebuah motorsikal berkuasa tinggi dengan beberapa unit BitCoin. Ketika itu urusan transaksi pertukaran nilai berlaku dan itulah fungsi sebenar BitCoin iaitu sebagai alat pertukaran nilai, atau bahasa mudahnya matawang.

Seperti juga duit kertas yang kita anggap ianya bernilai, BitCoin juga melalui aktiviti yang menyebabkan ianya menjadi medium pertukaran nilai. Ada beberapa cara bagaimana kita boleh memiliki BitCoin ini, antaranya adalah dengan membeli secara langsung daripada pemilik BitCoin sedia ada, selain itu kita juga boleh menjalankan aktiviti trading pasaran BitCoin dan mendapat keuntungan dalam bentuk BitCoin dan akhir sekali, kita boleh menjalankan aktiviti melombong BitCoin.

Skim pelaburan bitcoin yang tidak sah

Skim pelaburan yang menggunakan BitCoin sebagai medium pertukaran nilai

Bagaimana salah faham berlaku dengan BitCoin adalah apabila wujudnya platform-platform pelaburan dan perniagaan yang menggunakan BitCoin sebagai medium atau matawang dalam urusan mereka. Jika ingin menyertai platform tersebut, perlu menggunakan BitCoin.

Ini sama asasnya bagaimana kita ingin meletakkan pelaburan dalam mana-mana instrumen pelaburan yang menggunakan matawang Ringgit Malaysia atau matawang lain yang telah digunakan sekian lama.

Andai ada platform-platform ini menipu, kita tidak menyalahkan Ringgit Malaysia kerana terlibat dalam aktiviti itu, sebab Ringgit Malaysia memang tidak bersalah. Ianya hanya matawang yang digunakan. Sama juga denganan BitCoin ini.

Menguruskan bitcoin sebagai matawang digital

Fahami konsep dan teknologi bagaimana BitCoin menjadi matawang

Kita perlu faham, BitCoin ini bukan syarikat, bukan program, bukan platform, bukan institusi pelaburan. Ianya adalah matawang. Kita boleh melakukan urusan jual beli menggunakan medium BitCoin ini. Walaupun penerimaan di Malaysia ini masih terlalu sedikit, namun ianya telah dan sedang digunakan di serata dunia.

Teknologi asas bagaimana proses melombong BitCoin ini menyebabkan wujudnya nilai dalam pasaran. Unitnya terhad dan telus, memberikan impak apabila ada yang ingin mendapatkannya. Jika anda berminat untuk belajar proses melombong BitCoin ini dengan cara mudah, boleh rujuk artikel Cara Melombong Bitcoin ini.

Daripada aktiviti ini, berlaku jual beli BitCoin, rewards kepada pelombong dan akhirnya pada harini, BitCoin mempunyai harga pasaran yang berbeza-beza setiap hari. Ketika artikel ini ditulis, harga untuk 1 unit Bitcoin adalah RM39275.08.

Ini adalah harga pada paras yang agak rendah jika dibandingkan dengan harga beberapa hari yang lalu.

Penggunaan bitcoin di masa hadapan

Sejauh mana teknologi matawang digital ini akan berkembang?

Jika kita lihat keadaan masa kini, BitCoin ini masih dalam proses untuk matang dari sudut penerimaan kepada seluruh dunia. Walaupun telah ramai yang menggunakan medium ini untuk melakukan jual beli dan transaksi, namun ianya masih belum diterima oleh kebanyakan negara kerana konsep jual beli tanpa identiti yang boleh berlaku menggunakan BitCoin.

Dalam masa yang sama, banyak negara mencari jalan untuk membolehkan cryptocurrency seperti BitCoin ini boleh digunakan dalam negara masing-masing kerana teknologi rantaian blok yang digunakan itu memberikan faedah kepada semua yang berada dalam ekosistem ini.

Tiada lagi penipuan atau perubahan rekod yang boleh dilakukan.

Jika anda ada sebarang persoalan mengenai BitCoin, sila ajukan di ruangan komen.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan http://ift.tt/2DQNzmQ
via Denaihati.com