Sunday, 26 April 2020

Hentikan Kempen Cetus Sentimen Kebencian Pada Pelarian


KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini menggesa kempen yang mencetuskan sentimen kebencian kepada pelarian yang semakin berleluasa dihentikan dengan segara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya kesal kempen menggunakan maklumat tidak berasas, diputar belit dan menambah-nambah fakta untuk menimbulkan kebencian kepada komuniti pelarian.

Mohd Azmi berkata, ia sampai kepada peringkat ada sanggup menulis sejarah yang salah dan tidak berasas mengenai etnik ditindas.

Beliau berkata, ia sekali gus bersekongkol dengan regim penindas yang memang mahu memburukkan dan menjustifikasikan jenayah penghapusan etnik yang dilakukan berpuluh tahun lalu.

"Malah, kami kesal berleluasanya status media sosial kebelakangan ini dalam yang mengguna kata-kata keras dan bertentangan dengan akhlak Islam apabila menularkan pandangan terhadap pelarian.

"Sudah tentu ini bukan nilai kesopanan dan ketatasusilaan yang dipegang rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan mewakili 40 NGO.

Mohd Azmi berkata, mereka percaya Ramadan sewajarnya mendidik dan menginsafkan semua atas nama persaudaraan Islam, dan mengambil petunjuk dari al-Quran dan sunnah.


Katanya, Malaysia sudah menjadi negara pilihan terutama dalam kalangan pelarian Muslim dan ia adalah beban diterima sejak 1970-an lagi.

"Sehingga hari ini, Malaysia memilih tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

"Bagaimanapun, Malaysia memberi banyak bantuan kepada pelarian dan kami berpendirian sikap dan komitmen Malaysia membantu pelarian perlu diteruskan," katanya.

Justeru pihaknya menyarankan perbincangan khusus dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lain supaya dapat bekerjasama dengan Malaysia dan NGO tempatan mencari penyelesaian kepada pelarian di sini.

Menurutnya, Malaysia perlu mengaktifkan semula gesaannya supaya ASEAN dan PBB mengambil inisiatif tegas secara kolektif untuk menyelesaikan isu pelarian Myanmar yang melimpah ke negara jiran.

"Myanmar perlu ditekan supaya warga Rohingya diterima semula dan kewarganegaraan mereka dikembalikan untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air.

"Selain itu, pelarian yang ada di Malaysia perlu dikendalikan secara berperikemanusiaan. Satu reformasi kerangka polisi migran baharu dan jelas ke arah menjaga hak asasi pelarian perlu digubal segera," katanya.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/3bFub9h
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3eTYQBF
via MerahHatiCintaku.blogspot.com