Semua orang mahu dilimpahkan rezeki. Apakah sebenarnya makna rezeki?
Dalam tafsir Al-Quran Al-Sya’rawi, rezeki ialah apa yang memberi manfaat bagi kita.
Luasnya rahmat Allah SWT kepada makhluk-Nya sehingga setiap kelahiran dan setiap ciptaan lahir bersama jaminan rezeki agar kita tidak perlu terlalu bimbang soal rezeki.
Menerusi firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 6 yang bermaksud:
Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan).”
Dengan keyakinan semua rezeki ditetapkan Allah SWT, ia boleh menyelamatkan kita daripada kebimbangan.
Baca : 7 Tips Untuk Memperoleh Rezeki Yang Melimpah Ruah
Bagaimana yang dikatakan sikap terlalu bimbang soal rezeki? Terlalu bimbang soal rezeki boleh menjadi sebab seseorang terputus hubungan dengan Tuhan.
Siang malam mencari rezeki tanpa mempedulikan halal haram dan mengabaikan hak Tuhan dan hak sesama manusia. Bimbangkan rezeki menjadi sebab seseorang terhalang daripada melakukan banyak kebaikan misalnya takut berkahwin dan takut memiliki anak.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 32, mafhum-Nya:
Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang yang soleh daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”
Dalam tafsir Al-Quran Al-Sya’rawi juga dinyatakan Allah SWT menguji kita dengan menjadikan rezeki ini ada yang baik, ada yang buruk, ada yang haram dan ada yang halal.
Baca : Rezeki Allah Bukan Sekadar Wang Ringgit
Ini bermakna, Allah SWT memerintahkan kita berusaha mencari rezeki halal dan berusaha mengelakkan rezeki yang haram. Begitulah keindahan Islam yang selalu mengajar keseimbangan antara tawakal dan usaha, dunia dan akhirat.
Apa yang kritikal, kita perlukan rezeki di dunia dan akhirat. Kedua-dua rezeki dunia dan akhirat, kita kena usahakan sekarang, di dunia ini.
Semasa kita bekerja, niatkan kerana Allah SWT. Lakukannya bersungguh-sungguh dan rasai satu tanggungjawab fardu kifayah. Justeru, kerja itu menjadi ibadat dan menjadi bukti di hadapan Allah SWT bahawa kita mementingkan akhirat.
Ketika tiba waktu solat, kerja utama kita adalah solat. Sebaik-baiknya, uruskan masa kita berdasarkan waktu solat. Rancang awal urusan dunia kita agar dapat solat awal.
Rasainya satu ibadat dan satu tanggungjawab fardu ain. Insya-Allah, ia juga bukti kita boleh tunjukkan di hadapan Allah SWT yang kita mementingkan akhirat.
Luasnya rahmat Allah SWT, apabila kita melakukan kerja akhirat misalnya solat, puasa dan membaca al-Quran, Allah SWT memberikan manfaat sejak di dunia lagi.
Baca : 21 Cerita Murah Rezeki Oleh Khairul Hakimin Muhammad
Oleh sebab itu, yang paling penting dalam hidup, jagalah takwa kita kepada Allah SWT. Jaga rasa takut dan berhati-hati dengan pengawasan Allah SWT walau seluas mana rezeki dunia yang kita usahakan.
Bahkan, Allah SWT menjanjikan mahu memberi rezeki yang tidak disangka bagi orang yang bertakwa.
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya.
Allah SWT sudah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Wallahu’alam. Semoga bermanfaat
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3bB6f6y
via Denaihati.com