Friday, 24 April 2020

Wakil Rohingya Diugut Bunuh Lepas Hantaran Palsu 'Kami Nak Jadi Warga Negara'


Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani menerima ugutan bunuh susulan hantaran palsu di media sosial yang dikaitkan dengan beliau.

Zafar berkata beliau terpaksa untuk menyahaktifkan akaun Facebooknya kerana dihujani ancaman dan cercaan.

Hantaran palsu itu memetik Zafar berkata orang Melayu sebagai "bodoh" dan menuntut hak sama rata serta kewarganegaraan Malaysia kepada pelarian Rohingya.

Beliau juga dituduh mempertikaikan pihak berkuasa Malaysia kerana enggan membenarkan bot yang membawa pelarian Rohingya masuk ke perairan negara.

"Kerana tuduhan palsu ini, saya menerima kritikan dan bahkan ancaman bunuh melalui panggilan telefon, Watsapp dan Facebook.


"Usaha Merhrom untuk membantu pelarian semasa PKP (perintah kawalan pergerakan) telah dihentikan kerana masalah keselamatan ini," jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan NGO kerana mengetengahkan isu kezaliman Myanmar terhadap orang Rohingya.

Zafar juga meminta maaf sekiranya ada kata-kata daripada segelintir pelarian itu telah melukai perasaan penduduk tempatan.

Kenyataan presiden pertubuhan pelarian Rohingya di Malaysia ini telah mendapat lebih 19,000 komen. Walaupun beliau telah mengemukakan penjelasan dan permohonan maaf, kebanyakan ulasan mengecam Zafar dengan kasar.

Isu pelarian Rohingya kembali menjadi perbincangan umum selepas pihak berkuasa pada 16 April lalu menghalang bot yang membawa pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara lantas mengundang maklum balas bercampur-campur masyarakat dan NGO.

Sumber: Malaysiakini


from Sehinggit Media https://ift.tt/2yGXOs6
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2KsqesE
via MerahHatiCintaku.blogspot.com