TINDAKAN seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menganggap berkerja dalam perkhidmatan e-hailing sebagai tidak bermaruah mengundang kemarahan ramai.
Keterlanjuran Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari sewaktu dia ditemubual dalam sebuah rancangan televisyen baru-baru ini turut ditularkan di media sosial.
Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Profesor Dr Azmawani Abd Rahman menerusi satu kenyataan pada Isnin menjelaskan, ia merupakan pendapat peribadi pensyarah berkenaan dan ia langsung tidak menggambarkan pandangan rasmi institusi pengajian itu.
Malah, pihak UPM juga sedang menunggu penjelasan lanjut pensyarah berkenaan dan berkemungkinan besar dia tersalah memilih perkataan bersesuaian sewaktu memperincikan topik itu dalam rancangan berkenaan.
"Bagi memurnikan situasi yang sedang berlaku, UPM akan meminta pensyarah terbabit mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka khususnya kepada pihak yang terkesan dengan kenyataan tersebut dan umumnya kepada masyarakat secara keseluruhan.
"Ingin dimaklumkan, UPM mempunyai garis panduan kepada semua pekerja dan pelajar dalam memberi kenyataan media," ujar kenyataan itu.
UPM juga menegaskan pihaknya sering memberi peringatan dan memantau warganya supaya mematuhi ketetapan yang dibuat dan tidak memberi kenyataan berbentuk provokatif, menyinggung dan memberi persepsi negatif.
Dalam pada itu, video keterlanjuran bicara pensyarah berkenaan kini ditularkan menerusi beberapa platform media sosial seperti Facebook dan Twitter.
Sewaktu membincangkan topik Belanjawan 2020 bersama panel jemputan, pensyarah tersebut memberi jawapan bahawa pekerja penghantaran (e-hailing) sebagai kerja yang tidak bermaruah.
"Mungkin ramai golongan muda terutamanya yang memilih untuk menjadi delivery guy (pekerja khidmat penghantaran) untuk Grab driver ataupun penghantaran makanan termasuk FoodPanda, Grab, adakah ia dilihat sebagai kemakmuran bersama?
"Ataupun memang mereka tiada pilihan lain tetapi memang kena kerja, itulah kerjanya yang sanggup mereka ataupun mampu mereka dapat?" soal pengacara wanita dalam rancangan itu.
"Kita kena faham betul-betul konsep gig economy ni. Gig economy ni kita sebenarnya, kita secara mudahnya kita utilize... atau maximize digital economy.
"Dengan menggunakan penghantaran itu, dengan Gojek apa semua, sedangkan itu adalah kerja-kerja yang tak bermaruah saya panggil kat sini.
"Kita, kita, maksudnya bukan tidak... maksud saya kita..." ujar pensyarah itu dalam rakaman berkenaan seolah-olah cuba memperbetulkan semula kenyataannya.
Menerima puluhan ribu jumlah tontonan, ia turut dihujani dengan komen netizen yang rata-ratanya berang dengan kenyataan tersebut.
"Taraf pendidikan tidak menunjukkan tahap adab dan kewarasan minda anda.
"Jangan hina pekerjaan dan rezeki orang.
"Di mana pula letaknya maruah pensyarah ini?
"Astagfirullahalazim. Rezeki halal apa cara pun ia tetap bermaruah dan dipandang tinggi oleh Allah," tulis beberapa netizen.
Sumber: Mstar Online
from Sehinggit Media News https://ift.tt/31e3d2o
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/31eF6kr
via MerahHatiCintaku.blogspot.com