Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Setiap manusia yang lahir ke dunia ini akan ada bersamanya qarin daripada kalangan jin sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith yang sahih.
Tidak ramai orang yang mengetahui tentang ‘Qarin’ ini. Sebenarnya begitulah kehendak Allah SWT bahawa setiap manusia yang dilahirkan sehinggalah ia meninggal dunia mempunyai satu jin kafir yang menjadi teman ke mana sahaja ia pergi baik malam mahupun siang, mengajaknya mengerjakan kejahatan dan menahannya daripada melakukan ketaatan. Oleh kerana terlalu rapat dengan manusia ia digelar ‘Qarin’.
Untuk mengimbangkan kekuasaannya maka Allah mengutuskan pula malaikat yang mengajak manusia berbuat kebajikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Maka manusialah yang harus membuat pilihan sama ada mentaati arahan malaikat atau syaitan.
- Daripada Abdillah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.” [Riwayat Muslim (2814)]
Tugas qarin ini adalah mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perkara samada perkara tersebut baik atau sebaliknya.
Antara dalil yang membuktikan bahawa qarin ini wujud adalah:
- Firman Allah SWT
وَقَالَ قَرِينُهُ هَـٰذَا مَا لَدَيَّ عَتِيدٌ
Maksudnya: “Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan amal manusia) yang terletak di dalam jagaanku serta yang siap sedia (untuk dibicarakan).” – Qaaf:23
- Firman Allah SWT
قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَـٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ
Maksudnya: “Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.” Qaaf:27
Yang dimaksudkan dengan qarin di dalam ayat pertama iaitu ayat ke 23 adalah malaikat yang diutuskan untuknya menurut pendapat al-Hasan, Qatadah dan Dhahhak. Manakala, qarin di dalam ayat ke 27 adalah syaitan yang didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana syaitan ini berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta mendustakannya.
Hadith yang menceritakan berkaitan qarin ini merupakan hadith yang sahih dan ia diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya.
Antara ulama’ yang mengatakan bahawa qarin Rasulullah SAW masuk kepada Islam adalah Imam al-Suyuthi (911 H) di dalam kitabnya ketika meletakkan hadith ini di dalam bab Pengkhususan Nabi SAW dengan islamnya qarin Baginda SAW. [Lihat: al-Khasais al-Kubra, 323/2]
Selain itu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami (974 H) juga menyatakan yang dimaksudkan dengan “فَأَسْلَمَ” adalah masuk kepada Islam dan ini merupakan pengkhususan bagi Nabi SAW. [Lihat: al-Fatawa al-Hadithiyyah, 52/1]
Ada pendapat yang lebih berat dipegang oleh al-Qadhi dan juga al-Nawawi bahawa qarin Rasulullah SAW masuk kepada Islam. Ini merupakan khususiyyah (pengkhususan) Nabi SAW yang tidak ada pada orang lain. Di samping itu juga, qarin itu adalah jin sebagaimana dinyatakan di dalam hadith dan jin ini ada yang baik dan ada yang jahat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain daripada itu.” – al-Jin:11
Para ulama’ berbeza pandangan dalam dalam memahami lafaz “فَأَسْلَمَ” ini kepada dua pendapat sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Walaupun begitu, kita sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar sentiasa berhati-hati dengan dorongan qarin (syaitan) ini.
Ini kerana, antara tugas qarin ini adalah menghasut manusia dan mendorong mereka melakukan kejahatan. Untuk itu, kita dituntut untuk sentiasa berlindung daripada hasutan dan bisikan syaitan dengan memperbanyakkan isti’azah atau mengucapkan “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم” sebagaimana yang dianjurkan dan diajar oleh Rasulullah SAW.
Semoga Allah SWT sentiasa memelihara dan memberi kekuatan kepada kita agar dapat mengawal diri yang lemah ini daripada segala hasutan dan bisikan syaitan yang direjam serta mengurniakan kepada kita semua pengakhiran hidup yang baik. Amin.
Wallahua’lam
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2MQs8p6
via Denaihati.com