Monday, 28 October 2019

Ruginya Anak Perempuan Tak Mandikan Jenazah Ayah, Itulah Bakti Akhir Kita


Saat menerima berita kematian  melibatkan ahli keluarga  terutama mak atau ayah yang melahir dan membesarkan kita, perasaan sedih pasti tidak dapat dibendung. Rasa kehilangan itu hanya mereka yang pernah teruji sahaja mampu berkongsi cerita.

Namun di sebalik kesedihan yang kita rasai itu, ada beberapa perkara yang kita terlepas pandang terutama dalam bab memandikan jenazah ibu atau bapa. Ramai di antara kita hanya menyerahkan urusan memandikan jenazah kepada pengurus jenazah kerana beranggapan mereka lebih faham dan sudah menjadi tugas mereka.

Masa yang sama, pasti  timbul di fikiran kita bolehkah anak perempuan memandikan jenazah ayahnya atau anak lelaki memandikan jenazah ibunya sebagaimana yang bermain di fikiran ramai anak muda. Bagaimana dengan aurat dengan arwah, bolehkah kita sebagai anak memandikan jenazah berlainan jantina?

Anak-anak diharuskan bersama-sama membantu pengurus jenazah dalam memandikan jenazah ibu bapa kerana itu bakti akhir. - Ustaz Hamdan

REMAJA menemuramah Pengurus Jenazah Masjid Ikhlasiah, Bukit C2 Pantai Dalam, Kuala Lumpur  Ustaz Hamdan Haji Yusof yang sudah berpengalaman lebih 20 tahun dalam pengurusan jenazah.


Boleh ke anak perempuan mandikan jenazah ayahnya? Menurut Ustaz Hamdan, tiada masalah untuk anak perempuan memandikan jenazah ayahnya kerana itulah bakti akhir seorang anak terhadap ayah yang menjaganya dari lahir hingga besar. Masa yang sama, ayah dan ibu adalah muhrim kepada anak-anaknya. Dalam Islam digalakkan untuk membantu menguruskan jenazah ibu dan ayahnya sendiri berbanding dilakukan orang luar dari ahli keluarga itu sendiri.

“Hal ini diharuskan kerana adalah lebih afdal anak-anak memandikan jenazah ibu atau bapa mereka. Masa yang sama anak-anak boleh menyimpan rahsia “cela” pada arwah andai ada kerana sebagai anak, tak mungkin kita membuka aib orang yang menjaga dan membesarkan kita,” katanya lagi.

Bagaimana dengan aurat? Menurut Ustaz Hamdan, dalam pengurusan memandikan jenazah, aib sentiasa dijaga kerana ia dituntut.

“Ada kain yang menutupi bahagian kemaluan jenazah ayah atau ibu kita. Peranan kita sebagai anak hanyalah membantu pengurus jenazah seperti menggosok tubuh, lengan, kaki dan sebagainya. Tapi dalam bahagian istinjak, biasanya dilakukan oleh pengurus jenazah itu sendiri. Rugi sebenarnya kalau kita sebagai anak membiarkan orang lain melakukan itu semua kerana itulah bakti akhir kita kepada orang yang melahir dan membesarkan kita di dunia ini.

Ramai anak-anak perempuan beranggapan mereka tidak boleh memandikan jenazah bapa kerana soal aurat sedangkan dalam pengurusan jenazah, aurat di mati begitu dijaga. 

Berdasarkan pengalaman, anak lelaki atau anak perempuan yang selalu memandikan jenazah berlainan jantina  ini? Jelas Ustaz Hamdan, sepanjang penglibatannya dalam bab pengurusan jenazah, dirinya melihat  lebih ramai anak lelaki menguruskan jenazah ibu mereka berbanding anak perempuan melakukannya kepada arwah bapa.  Mungkin anak-anak perempuan lebih takut dan tidak ada keberanian memandikan jenazah.  Mungkin juga terfikir tentang aurat dan sebagainya.

“Kita kena ambil peluang ini kerana rugi sebenarnya jika tak berbuat demikian. Tidak timbul soal aurat kerana sebagai pengurus jenazah pun saya sendiri tidak melihat aurat si mati. Kita ada kain menutup jenazah kerana walau si mati sudah meninggal dunia, aibnya masih perlu kita pelihara baik-baik. Saya sarankan anak-anak muda bersama-samalah kita memberi bakti akhir pada ibu bapa kerana peluang ini hanya hadir seumur hidup sahaja,” katanya memaklumkan, suami atau isteri juga diharuskan bersama-sama memandikan jenazah pasangan masing-masing kerana ianya lebih afdal.

“Bila ahli keluarga sendiri yang terlibat, kita boleh tutup aib jenazah kalau ada. Tapi itu juga bakti akhir kita untuk orang yang kita sayang semasa di dunia ini,” katanya yang mengajak anak-anak belajar ilmu pengurusan jenazah ini kerana ia bukan saja berguna untuk ahli keluarga tetapi juga kepada masyarakat suatu hari kelak.

Sumber: Remaja.my


from Sehinggit Media News https://ift.tt/34aZSDj
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2JrfcDJ
via MerahHatiCintaku.blogspot.com