Ipoh : Dua lelaki maut manakala dua lagi wanita tersepit selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terlibat kemalangan susulan tiang konkrit terjatuh dari treler di Km 257 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora dekat sini malam ini.
Difahamkan beberapa tiang konkrit yang dibawa treler itu terjatuh ke atas jalan dan terpelanting memasuki laluan bertentangan lalu terkena beberapa kenderaan di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian yang mengorbankan mangsa yang maut dikenali sebagai Leong Woei Sar, 34, dan Cheah Kim Seng, 60, itu pada pukul 9.13 malam.
Katanya, mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan dikenali sebagai Cheah Mun Yee, 30, dan Cheah Mee Yee, 27 tahun.
“Kami segera mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan dan mendapati kereta mangsa terbabas.
“Terdapat beberapa buah kenderaan terlibat disebabkan pelanggaran dari arah belakang akibat tiang konkrit yang terjatuh dari treler menghempap kenderaan yang pertama (hadapan),” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk tindakan lanjut manakala operasi mengeluarkan dua lagi mangsa masih dijalankan di tempat kejadian.
Aliran trafik di kedua-dua arah dilaporkan sesak susulan kemalangan itu.
Sumber : Bernama via Siakapkeli.my
from Sehinggit Media News https://ift.tt/34cdA8Q
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2PyELGR
via MerahHatiCintaku.blogspot.com