Wednesday, 30 October 2019

Hukum suami ambil duit isteri, boleh ke?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ramai suami sedar bahawa mereka merupakan ketua keluarga dan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memenuhi keperluan dan kehendak isteri dan anak-anak. Namun, masih ada juga yang tertanya-tanya bolehkah dan apakah hukum jika suami mengambil duit isteri tanpa pengetahuan?

Harta isteri adalah milik penuh isteri. Walaupun dalam bab memberi sedekah, isteri tidak perlu meminta izin suami untuk melakukannya menurut jumhur ulama’.

Isteri boleh membelanjakan hartanya mengikut kehendaknya asalkan perbelanjaan itu tidak membawa kepada dosa-dosa seperti pembaziran, maksiat dan sebagainya.

Izin dan kerelaan

Namun, jika perbelanjaan isteri boleh membawa kepada kemurkaan Allah, maka suami boleh menghalangnya. Ini atas dasar kewajipan seorang suami untuk mencegah isteri dan keluarga daripada dimasukkan ke dalam neraka, bukan atas dasar harta itu miliknya.

Firman ALLAH SWT:

‘Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka pula tetap melakukan segala apa yang diperintah.’ (Surah at-tahrim:6)

Suami boleh mengambil harta isterinya hanya dengan keizinan dan kerelaan si isteri.

Suami wajib beri nafkah

Hakikat yang sebenar, suami wajib menafkahkan kepada isteri sekalipun isteri tersebut seorang yang kaya atau berkerjaya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

MaksudnyaKaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’: 34)

Suami sepatutnya memberi nafkah kepada isteri. Dinyatakan apabila isteri yang menafkahkan kepada suami atau tidak diberi haknya, maka di situ berlaku qiwamah yang berpindah dari lelaki kepada isterinya.

Begitu juga, antara hikmah Allah memberi tanggungjawab kepada lelaki supaya memberi nafkah kepada isterinya adalah agar rasa kasih sayang, penghormatan dan cinta isteri menjadi subur sehingga melahirkan mahabbah, mawaddah dan sakinah dalam melayari bahtera kehidupan. Inilah yang kita dambakan.

Menjawab persoalan ini, tidak sewajarnya suami mengambil harta isteri tanpa izinnya. Walaupun begitu, binalah rumahtangga dengan sifat toleransi, kasih sayang dan tolong-menolong agar kebahagiaan sentiasa menyinari kehidupan rumahtangga.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2NsgK1K
via Denaihati.com