Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Menjadi trending ketika ini semua aktiviti bersukan dilakukan pada waktu malam.
Malah banyak pihak menganjurkan aktiviti dan pertandingan sukan pada waktu malam seperti “night run” atau berlari sejauh 5km dengan pelbagai halangan.
Ini kerana pada waktu siang telah dihabiskan dengan bekerja dan bagi mereka waktu malam ialah alternatif untuk mereka bersukan supaya dapat mengekalkan tubuh badan yang sihat.
Namun ada dakwaan yang menyatakan bersukan pada waktu malam sebenarnya tidak sihat. Mengapa?
Alasannya, apabila kita menghabiskan masa di pejabat pada waktu siang, maka badan memerlukan rehat yang cukup untuk menyiapkan tugas pada keesokan harinya.
Jadi bagaimana otak dan tubuh badan ingin berfungsi jika tidak mendapat rehat yang secukupnya?
Malah ada juga yang mengatakan bersukan pada waktu malam akan menyebabkan seseorang menghidap penyakit jantung.
Sejauh mana kebenaran tentang fakta itu?
Ini faktanya :
Suhu badan kita, bermula dengan kadar yang rendah pada waktu pagi kemudian akan naik pada waktu siang dan akan menurun kembali pada waktu malam.
Suhu badan yang menurun dan rendah ini, memberi signal kepada badan kita untuk tidur.
Apabila kita bersenam dengan lasak melebihi 30 minit, suhu badan kita akan naik.
Ini akan menyebabkan kita terpaksa menunggu suhu badan turun kembali ke paras yang rendah untuk membolehkan kita tidur, kebisaannya proses penurunan suhu ini akan mengambil masa 5 ke 6 jam.
Satu kajian yang dibuat oleh Dr. Anne McTiernan daripada Fred Hutchinson Cancer Research Center di Seattle mendapati wanita yang bersenam pada waktu pagi lebih mudah untuk mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti berbanding wanita yang bersenam pada waktu malam.
Bagi mereka yang mengalami masalah insomnia, pakar perubatan mencadangkan mereka untuk mengelak dari melakukan senaman beberapa jam sebelum tidur.
Sama seperti kita mengambil makanan yang berat sebelum tidur, senaman malam juga akan memberi kesan yang tidak baik untuk badan anda.
Kesan positif kepada badan
Tetapi jangan susah hati, ada pendapat berbeza pula dengan Shawn Youngstedt, yang merupakan pembantu Professor Sains Senaman di University of South Carolina di Columbia yang mengkaji berkenaan tidur dan senaman.
Katanya tiada bukti saintifik yang kukuh yang menyatakan senaman pada sebelah malam menjejaskan waktu tidur dan terdapat kajian yang menunjukkan mereka yang bersenam secara lasak sebelum tidur dapat tidur dengan baik.
Senaman Siang vs Senaman Malam
Waktu senaman yang paling sesuai bergantung pada cara hidup individu, bagi kesan yang terbaik – cuba melakukan senaman pada waktu pagi tetapi jika tiada kelapangan, senaman waktu malam tidak akan menjejaskan kesihatan dan yang paling penting lakukannya secara konsisten.
Apa yang betul-betul terbukti bahaya untuk kesihatan badan anda ialah dengan langsung tidak bersenam.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2WpXZQp
via Denaihati.com