Tuesday, 15 October 2019

LTTE: Ramasamy Mahu Semua Tahanan Dibicara Ke Mahkamah Terbuka


KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy meneruskan desakan supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dimansuhkan kerajaan secepat mungkin.

Selain itu, pemimpin DAP itu turut menuntut kesemua 12 individu ditahan termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana didakwa ada kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibicarakan ke mahkamah terbuka.

Menurutnya, hanya hakim yang layak melaksanakan prosedur akhir pengadilan terhadap kesemua tahanan itu sama ada mereka bersalah atau tidak.

"Saya sudah nyatakan sebelum ini, segala akta tidak munasabah seperti SOSMA dan POCA mesti dihapuskan segera. Kalau esok boleh hapuskan SOSMA, bagus la.

"Saya juga tidak pertikai bukti polis, cuma saya meminta mereka dibicarakan di mahkamah terbuka.


"Saya minta mereka dibicarakan di mahkamah kerana pada akhir pengadilan bukan polis, bukan peguam bela menentukan nasib mereka tetapi hakim," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan penahanan 12 individu termasuk ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Exco Melaka, G Samithar kerana dipercayai ada kaitan dengan LTTE dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak Khamis lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka didakwa mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak itu.

Ramasamy berkata, pihaknya masih tidak dipanggil polis dan bersedia untuk sebarang siasatan berkaitan LTTE.

Menurutnya, pihaknya tidak menyalahkan polis menjalankan siasatan berkenaan LTTE, bahkan turut menafikan mempunyai pengetahuan terhadap kewujudan lambakan cawangan LTTE di seluruh negara.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2BgpC4F
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/32iFpMf
via MerahHatiCintaku.blogspot.com