KUALA LUMPUR - Bermula esok (15 Oktober) semakan status kelayakan Program Subsidi Petrol PSP dibuka menerusi portal rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pengguna boleh memasukkan nombor kad pengenalan dalam portal psp.kpdnhep.gov.my. untuk menyemak kelayakan.
Subsidi tersebut bakal memanfaatkan seramai 2.9 juta individu.
Datuk Seri Saifuddin memberi penjelasan itu dalam program Bicara Pengguna terbitan RTM di TV1.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas kawalan harga barang sempena musim perayaan Deepavali.
Jelasnya, 9 saluran aduan KPDNHEP akan diaktifkan dalam tempoh 48 jam dari sekarang bagi memudahkan pemantauan sebarang kenaikan harga oleh peniaga.
Para pengguna boleh mula layari portal rasmi KPDNHEP – psp.kpdnhep.gov.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan untuk proses semakan tersebut.
2.9 JUTA TERIMA PROGRAM SUBSIDI PETROL
Kira-kira 2.9 juta rakyat Malaysia bakal menerima subsidi melalui Program Subsidi Petrol (PSP) yang bermula Januari tahun depan
Ketika mengumumkan program PSP di dalam sidang media khasnya di kementerian ini tengah hari tadi, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, prinsip bantuan yang hendak disampaikan oleh kerajaan ialah melalui pengagihan semula subsidi yang sama, dan penggubalan dasar berpandukan data yang diperolehi dari Data Asas Jabatan Pengangkutan Jalan dan Data Asas Bantuan Sara Hidup .
Katanya, subsidi sedia ada secara pukal yang dinikmati oleh semua orang tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan akan diubah kepada golongan sasar yang layak iaitu warganegara Malaysia berpendapatan rendah yang sangat memerlukan bantuan tersebut.
Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk sebagai penerima subsidi petrol ini. Selain itu, penerima yang memiliki kereta yang berkuasa 1600 cc dan ke bawah atau yang mempunyai kuasa melebihi 1600 cc tetapi jangka hayat kenderaan melebihi 10 tahun layak menerima subsidi petrol tersebut.
Selain itu, motosikal berkuasa 150 cc serta motosikal melebihi 150 cc yang berjangka hayat tujuh tahun dan ke atas diambil kira dalam program ini. Kenderaan tersebut mestilah didaftarkan atas nama penerima subsidi dan masih aktif dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan.
Orang ramai boleh melayari portal di psp.kpdnhep.gov.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Program Subsidi Petrol serta boleh membuat semakan kelayakan bermula 15 Oktober 2019.
from Sehinggit Media News https://ift.tt/32hEfkf
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/31fzBSC
via MerahHatiCintaku.blogspot.com