Monday, 14 October 2019

Viral : Pengantin perempuan ada Master, gembira dan bahagia pilih suami pemandu lori

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebelum ini dah kecoh mengenai gadis yang mempunyai taraf pendidikan ijazah sarjana muda mahukan wang hantaran sekurang-kurangnya RM15,000.

Berbeza pula dengan seorang graduan ijazah sarjana (master) apabila dia dikecam kerana bersuamikan pemandu lori dengan pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut satu perkongsian di laman sosial, dia turut memberitahu bahawa hantaran perkahwinannya di bawah RM10,000.

“Orang kampung I kutuk mak abah, ‘anak pandai, kahwinkan dengan pemandu lori’. Makcik… tak hina pun kahwin pemandu lori, kita ni hamba yang belum tentu mulia di sisi Tuhan,” menurut perkongsiannya sehingga diulang kicau lebih 19,000 kali. 

Perkongsian Zuraiha mengenai suaminya bekerja sebagai pemandu lori tular di media sosial.

Wanita berkenaan, Zuraiha Zaini, 27, berkata, luahannya itu sebenarnya menunjukkan betapa bangganya dia berkahwin dengan jejaka pilihannya pada 17 Ogos lalu.

Mempunyai pendidikan ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, dia mengenali suaminya itu sejak di sekolah menengah lebih 10 tahun lalu.

“Saya kemudian masuk UPSI sambung belajar dalam degree dan master. Dia tidak bernasib baik dan belajar setakat SPM. Pada awalnya, dia buat kerja-kerja kampung.

“Dia kemudian menjadi pemandu lori dan bermula dari penghantaran hanya di kawasan setempat seterusnya keluar dari kampung di Sabak Bernam, Selangor apabila kami bertunang pada Januari lalu,” Zuraiha.

Zuraiha yang kini bertugas sebagai guru berkata, kata-kata kurang senang mengenai jodohnya itu mula hangat diperkatakan sebelum dia dan suami bernikah.

“Ada sepupu tanya kenapa saya tak kahwin dengan guru atau yang sama universiti dengan saya. Soalan tu ditanya hanya kurang 24 jam sebelum majlis akad nikah.

Wang hantaran tak perlu letak nilai ikut taraf pendidikan. Lagipun yang wajib hanya mas kahwin. Kami berkahwin pun secara sederhana. (Zuraiha)

“Masa kenduri kahwin ada segelintir penduduk kampung cakap dengan mak ayah saya kenapa ada master tapi kahwin dengan pemandu lori, tak sesuai mereka kata.

“Apabila ada yang bertanya fasal suami, saya dengan senang hati beritahu jodoh saya adalah pemandu lori. Jodoh adalah ketentuan Tuhan,” katanya.

Majlis pertungangan Zuraiha dan Mohd Hafis.

Mengimbas kembali detik-detik pertunangannya bersama Mohd Hafis Hozahli, 27, dia pada awalnya mencadangkan agar wang hantaran kurang daripada RM10,000.

Walaupun memiliki ijazah sarjana, bagi Zuraiha, dia tidak melihat taraf pendidikan itu sebagai penanda aras untuk menetapkan wang hantaran yang tinggi.

“Tapi saya bersyukur dan terharu apabila pada majlis pertunangan, keluarga saya hanya usulkan nilai wang hantaran mengikut kemampuan pihak lelaki.

“Pihak lelaki kemudian bagi wang hantaran RM8,000, nilai yang lebih tinggi daripada apa yang saya cadangkan,” ujar anak sulung daripada lapan beradik itu.

Zuraiha menyifatkan suaminya seorang bertanggungjawab dan penyabar.

Menurut Zuraiha, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori memperoleh gaji bulanan kira-kira sekali ganda daripada pendapatan yang diterimanya.

“Jangan pandang rendah hanya kerana pemandu lori. Kami sekeluarga menerima dia seadanya kerana sikapnya yang bertanggungjawab, penyabar dan suka membantu.

“Bagi saya, wang hantaran tak perlu letak nilai ikut taraf pendidikan. Lagipun yang wajib hanya mas kahwin. Kami berkahwin pun secara sederhana.

“Yang penting adalah bakal suami kita tu boleh jadi ketua keluarga yang bertanggungjawab dan membimbing kita sebagai isteri,” katanya.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2nJw553
via Denaihati.com