Saturday, 1 August 2020

Fastabiqul Khairat, Saling Berlumba Untuk Masuk Ke Syurga

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Berlumba-lumba melakukan kebaikan adalah satu suruhan Allah SWT dan galakan terhadap hambaNya yang beriman supaya sentiasa melaksanakannya.

Fitrah atau sifat semulajadi manusia sukakan kejayaan dan kemenangan, tiada seorang pun manusia waras mahukan kegagalan. Kalah atau menang, berjaya atau gagal adalah resam kehidupan. Lazimnya, sesiapa yang berusaha dialah yang berjaya.

Untuk berjaya pula perlukan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Semangat ini hendaklah ditanam dan disuburkan dalam hati setiap orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 148;

2:148

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat). Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Pernah dikisahkan di zaman Rasulullah SAW ada dua adik beradik yang gemar berlumba dalam beramal. Apabila si abangnya sedekah. Adiknya akan sedekah dengan harta yang lebih banyak dari abangnya.

Apabila si abangnya berpuasa. Adiknya akan puasa lebih dari abangnya.

Kerana mereka memang saling berlumba untuk masuk ke Syurga.

Pada satu hari, si abangnya diajak untuk masuk jihad; berperang dengan musuh. Abangnya tanpa berfikir lama, terus ingin menyertai jihad itu. Dia melihat ini lah satu-satunya peluang untuk mati syahid dan masuk ke Syurga.

Perang pun bermula. Si Abang itu ditawan oleh musuh Islam. Tidak rasa takut langsung, si Abang itu boleh ketawa lagi.

Musuh Islam pun berkata kepada dia

Kenapa ketawa? Kami nak bunuh kau pun kau ketawa.”

Jawabnya,

Aku ketawa sebab Syurga sedang menantiku.”

Musuh berkata lagi,

Pelik sungguh orang Islam ni kan? Nak kena bunuh pun masih ketawa. Kau ni memang sama macam budak tadi yang kami baru bunuh..”

Mendengar perkataan musuh Islam itu, si Abang itu terus menangis. Melihat perubahan emosinya yang drastik, si musuh tanya lagi

Kenapa kau menangis pula??”

Jawabnya,

Aku menangis sebab aku tahu budak yang kau baru bunuh itu adalah pasti adik aku. Aku menangis sebab aku tewas dalam perlumbaan ini. Adik aku telah masuk Syurga terlebih dulu dari aku.”

Allah ..

Musuh Islam bertambah pening dengan jawapan itu lantas membunuh nya. Dikatakan kedua abang dan adik telah pun syahid dan berada di dalam Syurga.

Lihat lah. Hebat sungguh mereka ni. Mereka tidak berlumba dalam hal keduniaan. Satu beli Rumah besar, yang lain nak beli lagi besar. Satu buat bangunan tinggi, lagi satu buat yang lebih tinggi.

Mereka berlumba dalam mengejar nikmat yang tertinggi iaitu Syurga Allah SWT. Semoga kita semua ditempatkan di Syurga bersama-sama para Syuhada dan Solihin. Aaaminn.

Allah SWT menjelaskan bahawa orang beriman yang berlumba-lumba melakukan kebaikan semasa hidupnya adalah orang yang berjaya dan berada dalam barisan hadapan dalam kalangan umat lain.

Sebagaimana firmanNya dalam surah al-Mukminun ayat 61;

Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya”

Wallahu’alam.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/30i6X5T
via Denaihati.com