Thursday, 18 June 2020

5 Anggota Tentera & 13 Anggota Polis Ditahan Disyaki Terlibat Dalam Sindiket Seludup PATI


Seramai 18 pegawai dan anggota agensi penguatkuasa ditangkap kerana disyaki menjadi dalang dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek tersebut terdiri daripada lima (5) anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 13 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagi ATM, suspek terdiri daripada dua (2) pegawai dan tiga (3) anggota lain-lain pangkat.

“Manakala bagi 13 suspek PDRM, terdiri daripada satu (1) pegawai berpangkat ASP dan 12 anggota berpangkat rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob menambah, pegawai kanan polis berpangkat ASP yang ditahan tersebut bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Johor.


“Selain itu, satu (1) anggota berpangkat rendah bertugas di Polis Marin Wilayah 2, Tampoi, dua (2) anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman dan sembilan (9) anggota berpangkat rendah bertugas di balai IPD Kota Tinggi.

“Kesemua suspek yang ditangkap berumur antara 24 tahun hingga 41 tahun,” jelasnya lagi.

Tambahnya, mereka akan disiasat berhubung penglibatan dalam sindiket penyeludupan migran dan akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya dibuktikan bersalah.

Kesemua suspek terbabit ditangkap dan ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Bab VIB Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan dengan prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.




Sumber: Polis Johor via Siakapkeli


from Sehinggit Media https://ift.tt/3fGolpF
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2Cl21Up
via MerahHatiCintaku.blogspot.com