KUALA LUMPUR: Bersih, selamat dan sistematik.
Itu gambaran terhadap suasana terkini Pasar Borong Kuala Lumpur selepas 'proses pembersihan' warga asing dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di pasar borong berkenaan, baru-baru ini.
Usaha pembersihan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) jelas memberi impak yang amat positif dalam memberikan suasana baharu yang lebih selesa, selamat dan kondusif di pasar borong berkenaan.
Menerusi tinjauan yang dilakukan oleh BH semalam, mendapati suasana pasar borong itu cukup berbeza berbanding sebelum ini apabila persekitaran di situ didapati amat bersih dan teratur.
Kawasan kaki lima serta tempat parkir kenderaan yang sebelum ini dipenuhi dengan penjaja warga asing serta sampah sarap juga bersih dan pengunjung juga kini lebih mudah meletakkan kenderaan masing-masing di dalam tempat parkir yang disediakan.
Pengunjung, Mohd Hasmizal Asmi, yang ditemui mengakui suasana Pasar Borong Kuala Lumpur kini jauh berubah daripada sebelum ini apabila keadaannya lebih bersih dan teratur.
"Dulu banyak kelihatan longgokan sampah sarap termasuk lebihan sayuran rosak, lantai di sini kotor dan merah kerana dipenuhi dengan 'air ludah sirih' warga asing tetapi sekarang keadaan di sini amat bersih.
"Jika dahulu tempat ini dipenuhi dengan warga asing dan membuatkan kita rasa tidak selesa, namun keadaan kini amat berbeza, memang susah nak nampak kelibat mereka," katanya beliau yang juga seorang peniaga pasar mini di Nilai, Negeri Sembilan.
Pendapat sama dikongsi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Selvarani yang menyatakan rasa lega dengan keadaan di Pasar Borong Kuala Lumpur sekarang yang jauh lebih bersih dan bebas daripada warga asing.
"Saya amat menyokong tindakan kerajaan yang tidak membenarkan warga asing bekerja atau berniaga di sini kerana mereka bukan sahaja tidak tahu menjaga kebersihan malah bersikap ala samseng dan suka bergaduh sesama sendiri.
"Kita bukan sahaja rasa tidak selesa malah rasa tidak selamat apabila berurusan dengan mereka. Ada yang bawa anak isteri tidur di pasar ini, mereka buat macam rumah sendiri," katanya yang sudah lebih 20 tahun berurusan di pasar borong berkenaan.
Katanya lagi, peniaga dan pekerja warga asing juga biasanya suka mengambil kesempatan dengan menjual dengan harga lebih mahal daripada harga yang ditetapkan majikan mereka dan mengambil lebihan untung itu untuk diri sendiri.
Pengunjung, Haslinda Hassan, mengakui sebelum ini tidak gemar membeli barangan di Pasar Borong Kuala Lumpur kerana suasananya yang tidak selamat, kotor dan dipenuhi warga asing walaupun harga barangan di sini jauh lebih murah berbanding pasar borong lain.
"Ini berdasarkan pengalaman yang dikongsikan beberapa rakan yang berurusan di pasar ini apabila kereta mereka dipecah masuk di tempat parkir, tayar kereta dipancitkan dan ada yang diugut warga asing.
"Ini menyebabkan kita rasa tidak selamat namun suasana amat berbeza sekarang kerana bukan sahaja pasar ini kelihatan bersih dan teratur malah pelanggan rasa selamat dan selesa," kata beliau yang juga seorang pekedai Pertubuhan Peladang di Batu 14, Hulu Langat.
Seorang pekerja pembersihan di Pasar Borong Kuala Lumpur, Indira Garbhi, mengakui tahap kebersihan dalam bangunan pasar borong itu kini amat baik sekali kerana sikap peniaga dan pekerja warga tempatan yang pandai menjaga kebersihan.
"Mereka akan sapu sendiri lantai di lot-lot tempat mereka berniaga dan membuang sampah di tempat sampah yang disediakan.
"Kami kini lebih memfokuskan melakukan kerja pembersihan di kawasan kaki lima, tempat parkir dan kawasan pasar borong ini secara keseluruhan," katanya.
BH sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 3,500 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini bebas bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur berjaya 'dihapuskan' DBKL susulan pelaksanaan PKPD di kawasan terbabit.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr JP Santhara Kumar, menyifatkan kejayaan itu pencapaian terbesar kementerian kerana tindakan monopoli pekerja asing terhadap Pasar Borong Kuala Lumpur sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun dahulu dan situasi itu selama ini dilihat seolah-olah sukar untuk dihapuskan.
Katanya, kini hanya 16 pekerja asing digajikan di pasar borong itu dengan permit kerja yang sah dan ternyata premis itu masih mampu beroperasi tanpa kehadiran golongan terbabit.
"Setakat ini, kita dimaklumkan seramai 1,500 rakyat tempatan bekerja di situ menggantikan posisi yang sebelum ini dimonopoli warga asing dengan pendapatan dari RM2,000 hingga RM2,400 sebulan bersama elaun tertentu," katanya.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2MV89ow
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/37pD6dK
via MerahHatiCintaku.blogspot.com