Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,
Sebagai seorang Muslim mestilah menjaga lisannya dan juga anggota badannya yang lain daripada menyakiti saudara muslimnya yang lain. Sesungguhnya orang yang suka sakiti hati orang lain dengan lidahnya hanya mengundang dosa sahaja.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya : “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”(HR Bukhari, 6484)
Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata:
Maksudnya : “Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.” (Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (1/62)
Perbuatan menjauhkan diri daripada seseorang yang menyebabkan berlakunya kesakitan ke atas diri kita sama ada menerusi lidahnya atau perbuatannya, adalah suatu perkara yang dianjurkan di sisi syarak.
Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : “Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan dari Allah, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya, atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia.” (Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55)
Maka ini adalah isyarat yang zahir bahawa perbuatan duduk di rumah itu merupakan suatu bentuk penjarakan sosial (social distancing) bagi mengelakkan keburukan berlaku ke atas diri kita dan begitu juga dari menghalang kita melakukan keburukan kepada orang lain.
Begitu juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : “Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.” (Riwayat Al-Bukhari (2101)
Kesimpulannya, jangan sakiti hati orang lain dengan lidah dan anggota badan kita, sesungguhnya ia akan membawa padah sahaja. Jika berlaku demikian, dibenarkan untuk seseorang itu menjauhi individu-individu yang suka menyakitinya sama ada secara lisan atau secara fizikal, bagi mengelakkan sebarang keburukan yang lebih teruk berlaku kepada kedua belah pihak.
Bahkan menjauhkan diri dari bermajlis bersama seseorang yang menyakiti kita sama ada dalam hal agama atau urusan keduniaan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak.
Dalam masa yang sama, hendaklah teguran dengan cara yang terbaik diberikan kepadanya agar menghentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain.
Selain itu juga, perbanyakkanlah doa semoga Allah S.W.T memelihara hubungan persahabatan serta mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik. Amiin.
Sumber: Mufti wilayah
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/387eZRz
via Denaihati.com