PUTRAJAYA : Sebanyak 54 taman tema termasuk taman tema air di seluruh negara dibenarkan beroperasi bermula Rabu ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kebenaran operasi pada 1 Julai itu membabitkan lebih 10,000 tenaga kerja.
Bagaimanapun, katanya semua pengusaha taman tema perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi pada setiap masa.
Pada masa sama, katanya had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema.
"Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan pensanitasi tangan.
"Pengusaha taman tema air perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air," katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini pada Isnin.
Garis panduan serta SOP itu boleh diperolehi di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media https://ift.tt/31rj1Tf
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2Vo3U9x
via MerahHatiCintaku.blogspot.com