Saturday, 27 June 2020

Kerajaan Tegas Sekat Kemasukan Pelarian Rohingya Ke Malaysia


Kerajaan tegas dengan pendirian untuk menyekat kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan juga masih kekal dengan pendirian bahawa penyelesaian terbaik adalah untuk menghantar mereka pulang dengan Kementerian Luar telah diminta untuk berbincang mencari jalan bagi merealisasikan perkara itu.

“Kita juga minta Kementerian Luar untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana banyak negara di dunia yang bercakap tentang kemanusian, namun tidak menerima mereka.

Jika benar mereka memperjuangkan isu kemanusiaan, saya cabar mereka untuk ambil Rohingya di Malaysia kerana mereka ini banyak mempersoalkan dan mengkritik kita,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Ramah Mesra di Felda Chini 3 di sini, hari ini.


Ismail Sabri juga tidak menolak kemungkinan layanan baik Malaysia sebelum ini menyebabkan negara ini menjadi pilihan pendatang Rohingya.

Beliau berkata masalah pendatang Rohingya yang dianggarkan seramai 200,000 orang di negara ini akan selesai jika semua negara maju yang lantang mengkritik Malaysia mengambil ‘serba sedikit’ pelarian itu untuk dibawa ke negara masing-masing.

“Kita beri layanan yang baik daripada aspek kemanusian, malah kita antara yang terbaik di dunia. Jika ada bencana di negara lain, kita yang pantas menghulurkan sumbangan dan bantuan.

Namun jangan disebabkan kita bersikap baik, seluruh dunia menolak isu Rohingnya ini kepada Malaysia untuk diselesaikan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan memberi jaminan kerajaan akan terus memperketatkan sempadan negara termasuk di ‘laluan tikus’ yang menjadi laluan masuk pendatang asing tanpa izin bagi memastikan Malaysia tidak terus menjadi lokasi tumpuan warga asing.

Sumber: BERNAMA


from Sehinggit Media https://ift.tt/2VlMA4M
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3ieyf4j
via MerahHatiCintaku.blogspot.com