Monday, 15 June 2020

Ibu Bapa Perlu Semai Amalan Kebersihan Sebelum Prasekolah Dibuka


KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu menyemai kepentingan penjagaan kebersihan dan amalan jarak sosial kepada anak sebelum prasekolah dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dibuka semula dalam tempoh dua minggu lagi.

Apatah lagi, anak pastinya teruja bertemu kembali rakan yang 'terpisah' sejak kira-kira tiga bulan lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac, kemudian diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas.

Meskipun, prosedur operasi standard (SOP) terperinci akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengelak jangkitan COVID-19, ibu bapa seharusnya berperanan membantu memudahkan tugas guru untuk membiasakan anak mengamalkan normal baharu di institusi pendidikan awal itu.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, mengumumkan pembukaan semula semua prasekolah dan TABIKA bermula 1 Julai ini dengan SOP terperinci dijangka diumumkan KPM dalam masa terdekat.

Ia membabitkan 6,216 prasekolah di bawah KPM; 7,887 prasekolah swasta; 1,781 TABIKA di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 TABIKA kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad, berkata kanak-kanak yang diterap dengan penjagaan kebersihan akan mempraktikkan amalan itu.

"Di tadika memang sudah diajar aspek kebersihan dan anak memang amalkan basuh tangan ikut langkah 20 saat.

"Jika ibu bapa turut bantu terapkan nilai yang sama di rumah, normal baharu akan jadi biasa dan risiko di tadika boleh diatasi kerana anak dah biasa diterapkan dengan amalan kebersihan seperti cara basuh tangan untuk elak jangkitan virus.

"Jadi, mereka lebih mudah faham jika kita (guru) minta lakukan," katanya kepada Bernama.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 8,494 kes positif COVID-19 dengan 121 kematian.– BERNAMA


from Sehinggit Media https://ift.tt/30MYd8n
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2UMVLuZ
via MerahHatiCintaku.blogspot.com