Monday, 1 June 2020

Lelaki Rohingya Disyaki Positif COVID-19 Lari Dari Pusat Kuarantin


SEORANG pelarian Rohingya yang disyaki positif Covid-19 melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin di Tanjung Rambutan, Perak, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, lelaki yang bernama Rohim Mohd Zokaria, 27, didapati hilang dari biliknya di Institut Latihan Kementerian Kesihatan sekitar pukul 11 pagi semalam.

"Petugas kesihatan hendak melakukan ujian terhadap mereka yang dikarantin di sana, dan dia tidak ditemui di biliknya.

"Mereka mencari namun tidak menjumpainya," katanya sambil menambah bahawa lelaki itu dihantar ke pusat kuarantin tersebut dari Hospital Slim River pada Sabtu.


Polis kini katanya sedang melancarkan gerakan bagi mengesan lelaki tersebut.

Menurut Anuar, Rohim dari Sentul, Kuala Lumpur ditahan bersama dua yang lain di sekatan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Behrang minggu lalu dan disiasat kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) serta hal-hal yang berkaitan dengan imigresen.

"Dia diberi jaminan polis kerana mengadu sesak nafas dan menunjukkan gejala Covid-19.

"Dia dihantar ke Hospital Slim River dan ujian awal menunjukkannya negatif dan dia dimasukkan ke Tanjung Rambutan untuk dikuarantin selama 14 hari," tambahnya.

Anuar berkata, Rohim mempunyai berat sekitar 65kg, tinggi antara 165cm dan 168cm dan mempunyai rambut hitam pendek.

"Kali terakhir dia dilihat memakai baju wad berwarna biru," katanya sambil menambah bahawa kira-kira 57 orang berada di pusat kuarantin itu dan menunggu keputusan ujian di mana belum ada yang disahkan positif setakat ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," tambahnya. 

Sumber: Mstar Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2ZUKa07
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2ZW89fn
via MerahHatiCintaku.blogspot.com