Monday 1 June 2020

Masjid seluruh Arab Saudi dibenarkan solat selepas lebih dua bulan

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Masjid di seluruh Arab Saudi, termasuk Masjid Nabawi di Madinah, dibuka semula pada Ahad kepada orang ramai untuk menunaikan solat selepas ditutup sejak beberapa bulan lepas akibat pandemik COVID-19.

Jemaah dibenarkan memasuki masjid, kecuali yang terletak di kota suci Mekah, untuk solat Subuh pada Ahad.

Bagaimanapun, hanya 40 orang dibenarkan berjemaah dalam satu masa.

Pihak berkuasa Arab Saudi juga menyatakan, berjuta-juta mesej teks dihantar kepada orang awam, memaklumkan mengenai peraturan baru bersolat di masjid.

Peraturan itu termasuk menjaga jarak dua meter antara jemaah semasa solat, memakai topeng muka setiap masa dan tidak bersalam atau berpeluk sesama jemaah.

Sangat indah apabila dapat merasai kebesaran Allah sekali lagi, dan menyeru umat Islam supaya mendirikan solat di masjid, bukan lagi di rumah, kata Abdulmajeed al-Mohaisen kepada Reuters.

Beliau merupakan muazzin di Masjid Al-Rajhi, salah sebuah masjid terbesar di Riyadh.

Air mata saya berlinangan apabila masuk ke masjid dan apabila saya mendengar laungan azan.

Syukur kepada Allah atas rahmat ini, kita dapat kembali semula ke masjid untuk bersolat, kata Maamoun Bashir, rakyat Syria yang menetap di Riyadh.

Pada Mac lalu, Arab Saudi telah menangguhkan solat jemaah di masjid di seluruh negara sebagai salah satu cara membendung penularan COVID-19.

Setakat ini, Arab Saudi telah mencatat 83,384 kes positif dengan 480 kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis juga dibuka kepada para jemaah bermula waktu solat Subuh pada hari Ahad. Alhamdulillah

Sumber: Awani



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3eCdywj
via Denaihati.com