KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas perdana menteri itu merupakan mangsa penipuan oleh ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low, pengurusan kanan sebuah syarikat, dan ‘penyangak’ dari kalangan pegawai bank.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan turut mengakui bahawa kes anak guamnya itu menjadi cukup rumit, semata-mata disebabkan personaliti yang terlibat, yakni Najib sendiri.
"Oleh itu, saya akan mengatakan berdasarkan kedudukannya itu, ia menimbulkan banyak prasangka terhadapnya, seperti beberapa pertanyaan yang dibangkitkan oleh rakan saya yang arif (pendakwa), seseorang yang berpengetahuan, seorang yang mahir soal kewangan, kini sedar keadaan yang membawa kepada wang memasuki dalam akaunnya.
"Perlu saya katakan di sini bahawa sebenarnya dalam pembelaan kami, ia telah menjadi sukar bagi kami mengemukakan pembelaan yang terbaik.
“Ia kerana pembelaan kami, yakni pembelaan yang menyatakan kebenarannya, bahawa Datuk Seri Najib sendiri adalah mangsa penipuan, dan beberapa representasi salah oleh orang seperti Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas CEO SRC) dan beberapa penyangak dalam kalangan pegawai bank seperti Joanna Yu (bekas pengurus perhubungan AmBank) dan lain-lain pengurusan kanan SRC,” katanya dalam jawapan terhadap hujah yang dikemukakan pihak pendakwaan sebelum ini.
Peguam itu seterusnya berkata dengan mengambil kira kebenaran dalam hujah pembelaan, ia satu keadaan yang amat sukar sekali bagi pihak pembelaan, kerana Najib dikelilingi oleh orang yang melakukan penipuan, di mana dia sendiri adalah mangsanya.
“Amat mudah bagi sesiapa jua, termasuk pihak mahkamah, untuk menjadi teramat yakin dengan kepercayaan ini, bahawa keadaan yang menyelubungi Datuk Seri Najib akan menafikan beliau daripada pembelaan, yang sebaliknya boleh diterima bagi orang biasa, yang bukan Perdana Menteri,” katanya.
Muhammad Shafee berkata disebabkan prejudis orang ramai, ia membuatkan pembelaan sebegini bukanlah suatu perkara yang mudah.
Bagaimanapun menurutnya pihak pembelaan telah berjaya mengemukakan bukti, menerusi pemeriksaan balas semasa kes pendakwaan, dan juga bukti yang dikemukakan pihak pembelaan di peringkat pembelaan lagi.
Menurutnya adalah penting juga untuk mengingatkan mahkamah mengenai kebimbangan pihak pembelaan berhubung bentuk prejudis kes ini, dalam kalangan masyarakat umum, dan kemungkinan akan menular dalam persekitaran kehakiman.
Muhammad Shafee turut memetik penghakiman oleh Hakim Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim dalam satu kes jenayah sebagai garis panduan sebelum pihak mahkamah membuat keputusan selepas satu perbicaraan penuh.
“Ini (penghakiman) yang memberikan kita kanun yang jelas mengenai bagaimana pemikiran hakim perlu bertindak di penghujung keseluruhan kes,” katanya.
Menurutnya penghakiman itu menyatakan lima prinsip, namun Muhammad Shafee meminta mahkamah menimbangkan hanya dua prinsip yakni “jika anda terima atau percaya penjelasan tertuduh… bebaskan dia, dan jika anda tidak terima atau tidak percaya penjelasan tertuduh namun ia tetap menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kesalahannya… bebaskan dia”.
“Saya rasa ini adalah prinsip yang perlu diingati, yang saya pasti Yang Arif sedia maklum mengenainya,” kata Muhammad Shafee.
Menurutnya waktu wang RM42 juta dipindahkan ke akaun anak guamnya, adalah kira-kira tiga setengah tahun selepas pinjaman RM4 billion dari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC disalurkan.
“Seluruh penyaluran berlangsung pada 29 Ogos 2011 dan keseluruhan RM2 bilion disalur dalam empat bahagian, tidak dinafikan, tapi pada hari yang sama.
“Penyaluran kedua RM2 bilion dibuat pada 28 Mac 2012, perlu diingatkan bahawa RM42 juta adalah tiga setengah tahun kemudiannya.
"Saya nak bertanya soalan ini, tidakkah seorang yang amat berkuasa, jika dia dianggap begini, yakni seorang yang korup, tidakkah dia akan kata begini, saya berikan anda RM4 billion, anda perlu bagi saya RM42 juta terlebih dahulu, atau malah sehari mahupun dua hari sebelum semua ini dapat dilaksanakan. Adakah ini sikap perlakuan rasuah? tanya peguam itu.
Najib berdepan dengan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International yang terdiri daripada tiga pertuduhan CBT (pecah amanah), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pejabat AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, dan di pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011, dan 2 Mac 2015.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta pasukan pembelaan menamatkan hujah pembelaan mereka esok. -- BERNAMA
from Sehinggit Media https://ift.tt/3cDJcIh
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2MvV4Se
via MerahHatiCintaku.blogspot.com