Thursday 11 June 2020

Tiada Ibadah Haji Untuk Jemaah Malaysia Tahun Ini, Ditangguh Tahun Hadapan


KERAJAAN memutuskan menangguhkan ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 ke tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu sudah mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, keputusan itu juga diambil berdasarkan taklimat disampaikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang,pada 9 Jun.

"Semalam, saya sudah menjemput Duta Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia untuk disampaikan kepada Dr Mohammed Saleh bin Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi.


"Selain Malaysia, antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah Haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata, TH akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim (FAQ) berkaitan urusan penangguhan ibadat haji bagi Musim Haji 1441H sejurus selepas sidang media ini.

"Saya juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus berdoa supaya Allah SWT menghilangkan wabak ini sepenuhnya dan memelihara dua Kota Suci Makkah dan Madinah dari sebarang perkara yang tidak diingini.

"Saya mengharapkan semua bakal haji untuk bersabar dan reda dengan keputusan ini," katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim al-Haramain al Syarifain Raja Salman Abdulaziz atas usaha gigih membendung penularan jangkitan Covid-19 di Tanah Suci.

"Kami amat menghargai segala pengorbanan Kerajaan Arab Saudi dan wira barisan hadapan mereka yang masih bertungkus-lumus dan berterusan memerangi wabak ini khususnya di dua Kota Suci yang dicintai seluruh umat Islam," katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2Af72xb
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2MNmYcH
via MerahHatiCintaku.blogspot.com