Wednesday, 2 October 2019

Ratusan Riders FoodPanda mogok, Syed Saddiq saran kembalikan skim pembayaran lama

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kabinet menyarankan syarikat penghantaran dalam talian Foodpanda untuk kembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan para penunggang mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata kerajaan percaya kepada persaingan pasaran bebas, tetapi ia tidak boleh mengorbankan nasib pekerja.

Media melaporkan skim baru itu memansuhkan bayaran mengikut jam tetapi menaikkan upah bagi setiap pesanan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam dengan upah antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan berdasarkan prestasi.

“Setelah mendengar cerita kedua-dua belah pihak (pengurusan Foodpanda dan penunggang) saya bawakan isu ini ke kabinet hari ini. Kabinet menyarankan Foodpanda mengembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan riders (penunggang),” Syed Saddiq

Pastikan pasaran lebih kompetitif

Syed Saddiq berkata kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan pasaran yang lebih kompetitif bagi pemain sektor itu terutamanya apabila ada pihak mendakwa mereka yang mengawal pasaran.

“Bagi rancangan jangka masa panjang, kabinet juga memutuskan untuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membentuk Jawatankuasa Khas untuk menilai isu ‘gig economy’ dengan lebih mendalam.

“Terdapat ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa. Mereka perlu mendapat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka. Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga,” katanya.

Anak muda perlu tambah pendapatan

Terdahulu beliau telah bertemu dengan pihak pengurusan Foodpanda di pejabatnya sebelum mengadakan sesi pertemuan di kediamannya bagi mendengar keluh-kesah para penunggang Foodpanda, semalam.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata Foodpanda juga mendakwa mereka mempunyai kawalan pasaran yang besar dan kebanyakan penunggang mereka kecuali di Johor telahpun bersetuju dengan skim yang baharu.

“Ini adalah kurang tepat kerana riders daripada Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga membantah keputusan baru Foodpanda ini,” katanya dan menambah ada ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa, dan mereka perlu mendpaat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka.

“Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga,” katanya.

Mogok depan pejabat Foodpanda

Isnin lepas kira-kira 200 penunggang ‘Foodpanda’ mengadakan mogok membantah skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil di luar ibu pejabat syarikat itu di sini.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya memberitahu, mereka akan memastikan wujudnya situasi menang-menang antara penunggang syarikat penghantaran dalam talian Foodpanda dan pihak pengurusannya berhubung bantahan skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil.

Menurut kementerian itu, pihaknya sentiasa memberi perhatian dan penekanan khusus terhadap kebajikan dan perlindungan terhadap golongan yang berada dalam ‘gig economy’. -Mkini-



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2nMLiCB
via Denaihati.com