KUALA LUMPUR - Negara gagal untuk mencapai impian Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun depan disebabkan kesilapan strategi yang dijalankan kerajaan terdahulu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Wawasan 2020 tidak dicapai disebabkan sejak 15 lepas, strategi dan dasar yang salah telah diberi penekanan oleh kerajaan sebelum ini.
"Mereka tidak memberi tumpuan ke arah mencapai (matlamat) Wawasan 2020 bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikuti definisi kita sendiri menjelang tahun 2020," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 di sini hari ini.
Mahathir yang memperkenalkan Wawasan 2020 pada 1999 semasa beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu berkata, berikutan kegagalan pentadbiran sebelum ini, kerajaan yang ada sekarang tidak dapat menyatakan secara pasti bahawa Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara maju menjelang tahun depan.
Pentadbiran sekarang akan menempatkan dasar dan strategi ke arah menjadi sebuah negara maju menerusi pengenalan WKB 2030, yang baru dilancarkan, yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.
"Ia akan lebih baik daripada Wawasan 2020 kerana setiap orang akan menikmati kemakmuran," katanya.
Sementara itu, Mahathir berkata, WKB2030 yang tertumpu kepada agihan bersama akan memberi tumpuan kepada aspek latihan berbanding 'pemberian' khususnya kepada golongan miskin.
"Untuk ini kita akan pilih mereka yang akan dapat peluang iaitu mereka yang ingin dan bersemangat tinggi untuk berusaha memperbaiki diri mereka...mereka itu akan dibantu.
"Kalau mereka tidak punyai pengalaman, tidak punyai pelajaran ataupun idea berkenaan kerja yang nak dilakukan, kita akan latih mereka," katanya.
Menurut Perdana Menteri, golongan miskin didapati tidak faham cara pengurusan kewangan serta menganggap wang sebagai alat untuk membeli semata-mata dan bukan sebagai modal perniagaan.
"Kita juga akan perkenalkan perniagaan kecil yang boleh diurus oleh mereka dan saya yakin kali ini mereka akan mencapai hasil yang baik.
"Bukan seperti dahulu kita beri peluang, dijualnya peluang. Kita beri kontrak, dijualnya kontrak, kita beri lesen dijualnya lesen, bagi AP (lesen import dan lesen eksport)... jual AP, akhirnya mereka kekal miskin," katanya. - Bernama
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2oXxQM4
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/31QrZa2
via MerahHatiCintaku.blogspot.com