Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,
Tidak lama lagi belanjawan 2021 akan dibentangkan di dewan parlimen pada 6 November ini, mungkin jauh berbeza dengan belanjawan sebelum ini kerana mengambil kira isu negara yang dihadapi sekarang dengan pandemik Covid-19.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Belanjawan 2021 perlulah bersifat belanjawan mengembang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk susulan penularan COVID-19.
Menurut beliau, inilah masanya kerajaan menggandakan bantuan dan rangsangan menggunakan pendekatan bersasar kepada golongan yang paling terhimpit.
Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat hidup merana, perniagaan ditutup selamanya serta ekonomi negara terperangkap dalam ‘irreversible damage’.
“Gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang telah melanda negara kita akan melambatkan lagi pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.
Berada dalam kemiskinan mutlak
Yang lebih merisaukan, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur kini berada dalam kemiskinan mutlak, dengan 37% sukar membeli makanan mencukupi dan 70% sukar memenuhi perbelanjaan keperluan asas, berdasarkan Laporan siri ke-2 ‘Families on the Edge’, oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya, di sini pada Sabtu.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, sekiranya pandemik dan perintah kawalan pelbagai peringkat ini berlanjutan, Malaysia mungkin berhadapan dengan pemulihan berbentuk keluk-K.
Jelas beliau, ini bermaksud, sesetengah industri memaparkan pemulihan ekonomi manakala industri lain terutamanya industri pelancongan dan penerbangan terus jatuh merudum.
Pemulihan keluk-K
“Pemulihan keluk-K ini juga akan terlihat nyata dalam kalangan masyarakat.
“Golongan berpendapatan tinggi kurang terkesan, tetapi golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) terutamanya yang bekerja sendiri, akan kehilangan mata pencarian sekali gus akan menjejas kualiti kehidupan dengan teruk.
“Jurang ketidaksamarataan ekonomi akan semakin ketara,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, buat masa ini, naratif untuk mengurangkan defisit kerajaan sebagai langkah pengukuhan fiskal perlu ditolak jauh.
“Usahlah dirisaukan sangat had hutang negara yang baru-baru ini telah dinaikkan kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Hutang negara adalah untuk kita uruskan kemudian. Urusan utama dan terpenting Belanjawan 2021 ialah kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat.
“Bagi menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021, saya menyeru pihak kerajaan terus menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan, terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII),” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara, berbanding pinjaman dengan peraturan ketat daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pinjaman tempatan kurang terdedah
Tambahan pula, beliau menambah, pinjaman tempatan kurang terdedah kepada risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit.
“Maka, usaha konsolidasi fiskal mesti ditangguhkan seketika sehingga tahun 2022, dengan harapan ekonomi negara akan dipulihkan sepenuhnya.
“Waktu itu, jika ekonomi pulih, perbelanjaan boleh dikurangkan dan langkah penjimatan diutamakan semula,” katanya.
Namun, beliau berkata, strategi menggandakan perbelanjaan dan rangsangan dalam Belanjawan 2021 bukanlah ‘blank cheque’ untuk kerajaan berbelanja secara boros.
“Perbelanjaan kerajaan masih perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan, dengan tekad untuk mencegah segala bentuk ketirisan.
“Belanjawan 2021 mesti digubal dengan matlamat ekonomi yang mengutamakan sudut pandangan kemanusiaan.
“Peningkatan hutang sementara bagi menampung penggandaan perbelanjaan adalah perlu, demi satu matlamat yang mulia dan penting, iaitu menyelamatkan rakyat Malaysia yang paling terkesan dan memulihkan kehidupan,” ujarnya.
Sumber: Awani
The post Belanjawan 2021 perlu bersifat sudut pandang kemanusiaan first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/37ZQRCe
via Denaihati.com