Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang dijadualkan tamat Selasa ini, dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 9 November depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan itu dibuat berikutan situasi peningkatan kes positif selain penilaian Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan COVID-19.
“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan PKPB di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober 2020.
“Walau bagaimanpun, setakat ini penilaian risiko yang dijalankan oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan COVID-19 sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Selangor.
“Mengambil kira penilaian risiko ini, maka kerajaan bersetuju untuk melanjutkan perintah PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober sehingga 9 November 2020,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPB adalah sama seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Zon Nilai, Negeri Sembilan
Kerajaan juga bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Zon Nilai, Negeri Sembilan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bakal berkuatkuasa 28 Oktober hingga 10 November ini.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB ini adalah sama seperti PKPB yang diumumkan sebelum ini iaitu antaranya semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, semua aktiviti dan majlis sosial adalah tidak dibenarkan, aktiviti-aktiviti di masjid dan surau tidak dibenarkan, kecuali bagi laungan Azan dan solat lima waktu dengan jumlah yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.
Pada masa sama, sidang khas juga bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai berkuatkuasa 28 Oktober 2020 sehingga 10 November 2020.
Terdapat dua lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) di Putra Point Nilai yang dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif COVID-19 iaitu :
• Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F
• Jalan BBN 1/2E.
Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.
SOP PKPB dan SOP PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan layari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk maklumat lanjut.
Sumber: Awani
The post PKPB dilanjutkan lagi di Selangor, KL dan Putrajaya first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2J9rGTp
via Denaihati.com