Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Apa yang dimaksudkan dengan Ujub?
Menurut para ulama, ujub ialah seorang yang beranggapan bahawa kemuliaan amal soleh disebabkan adanya sesuatu perkara atau sebab bukan kerana Allah SWT. Ujub itu mempunyai tiga wujud yakni diri sendiri, makhluk dan barang.
Berikut merupakan beberapa takrifan dan pengertian ujub:
Abdullah Ibn al-Mubarak ketika ditanya tentang ujub atau bangga diri, beliau menjawab: “Engkau melihat di dalam dirimu sesuatu yang tidak ada pada diri orang lain.”
Bisyr bin al-Harith al-Hafi menyebut: “Ujub itu ialah engkau merasa memiliki amal yang banyak dan menganggap amal orang lain sedikit.”
Imam Ghazali berkata, ujub ertinya mengagungkan diri, atau menganggap agung amal yang dilakukan. Misalnya dengan mengatakan: “Akulah orang paling soleh, tidak ada orang yang melebihi kesolehanku.”
Baca juga: Allah Turunkan Ujian Dalam Pelbagai Bentuk Dan Waktu Yang Berbeza
Sesetengah keadaan, ujub terdiri dari dua sudut, misalnya seseorang mengatakan: “Jika aku tidak mempunyai wang tentu tidak boleh menunaikan ibadat haji.” Bermakna ujubnya berwujud diri sendiri dan harta benda. Selain itu, ujub juga boleh wujud dalam bentuk tunggal.
Lawan ujub ialah zikr al-minnah (ذكر المنّة) yang bermaksud mengingati kurniaan Allah. Ia harus diingati bahawa amal soleh yang dapat diamalkan itu kerana adanya taufik daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah lah yang memuliakan amalannya dan memperbanyakkan pahalanya.
Perbuatan ujub termasuk dalam sifat-sifat yang dicela. Allah SWT berfirman dalam surah al-Najm ayat 32:
فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
Maksudnya: maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/309) berkata: Yakni kamu memujinya, mensyukurinya dan bercita-cita dengan amalan kamu. Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمُ اللَّهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ
Maksudnya: Jangan kamu mensucikan diri kamu kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu. HR Muslim (5733)
Ujub hendaklah dirawat dan dihilangkan dengan proses penyucian diri serta menggantinya dengan akhlak yang mulia. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 188:
لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Pembahagian Manusia
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa manusia terbahagi kepada tiga golongan:
- Ujub untuk selamanya. Sekalipun dia menyedari adanya kurniaan Allah namun tetap juga dia bersifat ujub yakni golongan Muktazilah dan Qadariyyah. Mereka tidak memandang Allah menurut pendapat mereka, segala perbuatannya merupakan inisiatif dan ciptaan mereka sendiri, bukan daripada Allah. Begitulah akidah mereka sehingga mereka terus bersifat ujub. Mereka mengingkari adanya taufik dan pertolongan Allah serta latifnya Allah. Hal itu kerana syubhah yang menguasai dirinya.
- Golongan yang mengingati adanya kurniaan Allah dan segala tindakan dianggap sebagai kurniaan Allah sehingga mereka tidak pernah bersifat ujub atas amalan-amalannya. Hal itu kerana mereka sentiasa berhati-hati dan diberi kewaspadaan oleh Allah serta dikhususkan dengan ta’yid daripada Allah SWT dan inilah golongan yang lurus.
- Golongan campur aduk, kadang-kadang ujub tetapi pada suatu saat mereka tidak bersifat ujub. Mereka ini kebanyakannya Ahli Sunnah wa al-Jama’ah, kadang-kadang menyedari kurniaan Allah, kadang-kadang mereka lengah maka sifat ego atau ujub timbul mendadak. Hal itu kerana lemahnya ijtihad dan kurang berhati-hati.
Sehubungan dengan itu adanya golongan Qadariyah dan Muktazilah itu ada yang mengatakan sebagai kesalahan sendiri, ada juga berpendapat bahawa pahalanya tidak akan hilang kerana satu i’tiqad yang pada umumnya mengenai kumpulan-kumpulan Islam kecuali semua amalannya diujubkan. (Lihat Soal Jawab A – Z Tentang Tasawwuf, hlm. 114-115)
Cara Mengatasi Perasaan ‘Ujub
Antara cara mengatasi perasaan ujub ialah:
- Menyedari bahawa amal soleh yang kita lakukan hanyalah kerana pertolongan, taufik dan kurniaan Allah SWT. Allah SWT berfirman:
وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ
Maksudnya: Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah. [Surah al-Nahl (53)]
- Sedar bahawa ujub boleh membinasakan amalan yang kita lakukan. Daripada Anas bin Malik R.A, katanya, sabda Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ شُحٌّ مُطَاعٌ وَهَوًى مُتَّبَعٌ وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ
Maksudnya: Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti da seseorang itu merasa kagum pada dirinya.
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (731)
- Mengetahui dan meyakini bahawa kurniaan ilmu kepada kita amatlah sedikit. Dengan sebab itu, benarlah firman Allah SWT:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. Surah al-Isra’ (85)
Al-Sobuni berkata: Kamu tidak dikurniakan ilmu hai manusia kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu kamu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/159)
Kesimpulannya, dalam hal ini tidak ada unsur-unsur yang boleh menjadikan kamu bersifat bangga atau takbur. Andainya setiap kebaikan dan kelebihan yang ada pada setiap benda yang dibanggakan tadi, kamu letakkan atau kembalikan kepada pemiliknya, maka kamu akan menjadi orang yang benar.
Ucaplah dengan ucapan, Allah berfirman dalam surah al-Naml ayat 40:
هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.
Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada sifat ujub serta menjadikan kita daripada golongan yang ikhlas. Amin.
Sumber: Mufti Wilayah
The post Ujub dalam diri, bagaimana untuk atasinya? first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3dWbPmD
via Denaihati.com