Wednesday, 28 October 2020

Orang yang berselawat adalah orang paling utama bersama Rasulullah SAW di akhirat kelak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah, dengan kedatangan 12 Rabiul Awal, ramai di kalangan umat Islam mengingati peristiwa Maulid Nabi Muhammad SAW. Umat Islam seluruh dunia menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran insan agung yang mulia ini yang menjadi penyambung risalah Ilahi kepada manusia sejagat sehingga akhir zaman.

Baca: Kisah Lelaki Yang Lupa Membaca Selawat Kepada Rasulullah SAW

Apakah maksud Selawat?

Selawat adalah perkataan jama’ bagi solat (الصلاة‎) yang bermaksud doa atau pujian.

Tambahan pula, makna selawat Allah SWT, selawat para malaikat dan juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain.

Selawat Allah ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi.

Manakala selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala.

Ucapan selawat orang mukmin kepada baginda Rasulullah juga berupa doa agar Allah memberikan rahmat dan kemuliaan kepada baginda dan seluruh isi keluarga.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan dengan begitu jelas berkaitan tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 56;

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Baca: Doa Ini Rasulullah SAW Wasiat Untuk Kita Amalkan

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan.

Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511)]

Hadith Nabi berkaitan selawat

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat.” [Riwayat al-Baihaqi (5995)][Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan]

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]

Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir. Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia iaitu selawat merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta Allah SWT.

Jadikanlah selawat sebagai zikir harian sebagaimana kata-kata yang sering ucapkan setiap hari. Sesungguhnya orang yang banyak berselawat kepada Nabi SAW, akan dapat berdamping dengan Nabi SAW di akhirat kelak.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُ النَّاسِ عَلَيَّ صَلاةً

Daripada Abdullah Bin Masoud berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling aula (utama) bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (HR at-Tabrani, No. 9679 – Status Hadis Sahih)

Baca: Doa Yang Diajar Oleh Rasulullah SAW Untuk Menolak Wabak & Penyakit

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW dan berzikir kepada-Nya. Amin.

Sumber: Mufti Wilayah, tzkrh

The post Orang yang berselawat adalah orang paling utama bersama Rasulullah SAW di akhirat kelak first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3oARvMw
via Denaihati.com