Saturday, 23 January 2021

Anwar Dakwa Miliki Jumlah Kerusi Mencukupi Bentuk Kerajaan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi di Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan perkara berkenaan perlu menunggu atas ihsan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat makluman berikutnya.

“Bagi saya, kalau tanya saya sekarang jumlah mencukupi,” katanya dalam Program Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).

Program berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook MPN pada Sabtu dan ia dikendalikan oleh Felo MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali sebagai moderator. Turut sama dalam bicara berkenaan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose.

Ini bukan kali pertama Anwar mendakwa bahawa beliau mempunyai jumlah majoriti yang mencukupi daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Pada September 2008, Anwar pernah menyatakan memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan selepas Pakatan Rakyat tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang diadakan pada Mac tahun sama.

Anwar juga pernah membuat dakwaan sama pada 23 September tahun lalu bahawa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu pada masa sama mendakwa, bahawa jumlah ahli Parlimen menolak darurat yang dicadangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) 'lebih dari mencukupi'

“Kita sudah mencecah 114 atau 115 ahli Parlimen yang menolak usul kerajaan Perikatan Nasional (pimpinan) Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini tidak boleh disangkal. Apakah jumlah itu cukup? Itu lebih dari mencukupi,” katanya.

Menurut Anwar, dengan jumlah berkenaan, beliau akan menyampaikannya kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempertimbangkan usul berkenaan dan memanggil sidang khas Parlimen.

“Ternyata tidak boleh disangkal jumlah setakat ini yang menolak pandangan Perikatan Nasional berhubung perkara darurat dan penggantungan ditolak oleh majoriti ahli Parlimen.

“Sekarang Gabungan Parti Sarawak juga sedang membincangkannya. Saya tak tahu apakah keputusannya tetapi ternyata kalau ini berlaku maknanya yang komited mendokong darurat dan penggantungan Parlimen itu tak mungkin sampai 90 ahli Parlimen atau jauh lebih kurang,” dakwanya.

Dalam bicara berkenaan, Anwar turut ditanya mengenai apakah reaksi DAP mengenai kenyataan dibuatnya sebelum ini bahawa Kabinetnya akan dikuasai oleh muslim.

“Malaysia ini masih majoriti Melayu Bumiputera maka seeloknya (dan) seafdalnya negara juga diwarnai oleh pimpinan yang mewakili hasrat dan inspirasi rakyat seluruhnya.

“Apakah sikap DAP setakat ini? DAP memahami, itu berbeza sentimen kita terhadap DAP. Saya berunding terus dengan mereka,” katanya.

Anwar berkata, pimpinan DAP tidak menimbulkan apa-apa masalah mengenai kenyataan dibuatnya itu. 

Sumber: Sinar Harian



from Sehinggit Media https://ift.tt/3c1P8hO
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3qRhEad
via MerahHatiCintaku.blogspot.com