Thursday, 21 January 2021

Sifat buruk orang Melayu di mata Frank Athelstane Swettenham, Gabenor pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Tertarik dengan artikel yang di tulis oleh Tuan Mohsin Abdullah tentang orang Melayu daripada pandangan atau kaca mata orang Inggeris.

Orang Inggeris yang dimaksudkan ialah Frank Athelstane Swettenham, Resident General atau Gabenor pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Pandangannya terhadap orang Melayu dicatat dalam bukunya berjudul “ Malay Sketches” khususnya bab bertajuk “The Real Malay “.

Karya terkenal ini dihasilkannya pada tahun 1895 – bermakna yang dilihat, diamati dan dicatat berdasarkan sifat, tingkah laku, perangai, budaya orang Melayu zaman beliau.

Swettenham tiba di Malaya pada tahun 1871 dan menetap selama 24 tahun.

Apa pun bagi saya, persoalannya ialah adakah orang Melayu zaman Swettenham sama dengan orang Melayu zaman ini ?

Untuk menjawab persoalan itu perlu lebih dahulu dihayati apa yang dicatat Swentteham dalam bab “The Real Malay” menerusi buku “Malay Sketches” seperti yang dihuraikan pelajar Sarjana Muda Pengajian Maklumat UKM Harith Faruqi Sidek.

Ulasan beliau pada 2012 itu dianggap antara yang terbaik berhubung buku ini.

Saya mengakui belum membaca buku ini walaupun ia diterbitkan puluhan tahun lalu (orang Melayu malas membaca?). Lantas perlu memetik ulasan Harith untuk artikel ini.

Menurut beliau, Swettenham memulakan bab “The Real Malay” dengan menganjurkan untuk memahami orang Melayu, seseorang itu perlu tinggal di Tanah Melayu, bertutur bahasa Melayu, hormat adat dan budaya orang Melayu, meminati apa yang diminati orang Melayu, tahu gurau senda orang Melayu, sedia membantu mereka ketika dalam kesusahan serta berkongsi suka dan duka mereka .

Jika semua itu berjaya dilakukan, pada pandangan Swettenham, nescaya seseorang itu berjaya memenangi kepercayaan dan hati orang Melayu.

Swettenham kata Harith, seterusnya menghuraikan pandangannya atau “observation” (orang Melayu suka guna istilah Inggeris ?) mengenai orang Melayu dengan membuat perincian tentang bentuk fizikal orang Melayu, keperibadian orang Melayu dan keperibadian perempuan Melayu, hal ehwal ,hidup beragama, sikap kepada raja, bangsa dan agama dan sifat buruk orang Melayu.

Aspek “sifat buruk“ orang Melayulah yang diberi perhatian dalam artikel ini.

Menurut Harith, pada pandangan Swettenham , antara tabiat atau sifat buruk orang Melayu yang beliau temui adalah :

  1. Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi liat membayar balik
  2. Suka ambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan mengumpat
  3. Suka mempercayai hal karut marut
  4. Suka berjudi, bersabung ayam dan perkara seumpamanya
  5. Tidak mudah menerima perubahan
  6. Orang Melayu adakalanya malas, malah perkara yang rutin juga dilalaikan
  7. Tidak menghargai masa
  8. Rumah dilihat tidak kemas, malah kotor
  9. Suka mengamuk
  10. Suka berpuak-puak
  11. Walaupun suka berbudi, orang Melayu sebenarnya mengharapkan balasan
  12. Amat titik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal perkahwinan
  13. Suka berdendam dan jika dendam itu tidak dibalas kepada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki, perempuan, tua atau muda.

Sebelum ada orang Melayu marah, perlu diingatkan Swettenham kata Harith, boleh berbahasa Melayu dengan baik hinggakan beliau mampu menghasilkan kamus “Vocabulary of the English and Malay language”.

Lebih penting beliau dikenang sebagai antara 40 pegawai tinggi British yang menentang pengenalan Malayan Union.

Tun Mahathir dalam artikelnya “13 kesilapan orang Melayu” juga mempunyai pandangan yang tidak jauh beza dengan Swettenham.

Lalu persoalan penting diaju kepada orang Melayu zaman ini.

Adakah sifat atau ciri yang dibentangkan di atas ada dalam jiwa orang Melayu zaman sekarang? Jika tidak ada alhamdulillah. Abaikannya sebagai imaginasi seorang Mat Salleh yang sudah lama meninggal dunia.

Jika ada, orang Melayu zaman ini tentu tahu apakah yang mesti dilakukan. Demi diri sendiri dan demi orang Melayu zaman mendatang.

Bagi Harith sikap buruk yang dihurai Swenttenham “walaupun tidak enak dibaca, ia harus menjadi pengajaran kerana inilah apa yang dilihat oleh orang luar.

Akan tetapi mungkin telah ada di antara sikap buruk tersebut yang sudah pun terhakis dari masyarakat Melayu kini.

Senarai buruk ini harus menjadi pengajaran bagi orang Melayu mutakhir dalam meningkatkan sahsiah mereka agar dipandang tinggi.

Jangan terlalu dibuai syair dan gurindam akan keindahan bangsa Melayu, tetapi harus tegar memperbaiki diri bila ditegur ”.

Maknanya – jangan melenting bila dikritik dan jangan syok sendiri.

Itu cuma intepretasi saya kata si penulis Mohsin Abdullah.

The post Sifat buruk orang Melayu di mata Frank Athelstane Swettenham, Gabenor pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu. first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/392Ee9z
via Denaihati.com