Thursday, 14 January 2021

Bayaran fasa kedua BPN 2.0 dipercepatkan mulai 21 Jan ini

PUTRAJAYA, 13 Jan – Bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) berjumlah RM2.38 bilion kepada 11.06 juta penerima termasuk pemohon baharu akan dipercepatkan mulai 21 Jan ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penerima baharu tersebut telah diluluskan semasa tempoh permohonan dan rayuan dibuka pada 15 Oktober hingga 15 November lalu.

“Bagi penerima B40, bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pada 21 Jan ini, manakala bagi penerima M40, turut sama dikreditkan ke dalam akaun bank pada 25 Jan berikutnya.

“Bagi penerima tanpa akaun bank pula, pengeluaran boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan.

“Manakala bagi penerima tanpa akaun bank di Sabah dan Sarawak, bayaran akan dibuat mulai awal Februai sehingga 1 April di lokasi-lokasi pengeluaran yang akan diumumkan akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, bayaran fasa kedua BPN tersebut disalurkan melalui beberapa pecahan mengikut taraf penerima.

“Bagi penerima B40 dan isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah, sebanyak RM1.21 bilion diperuntukkan kerajaan kepada 3.81 juta penerima.

“Bagi penerima B40 bujang dan berpendapatan RM2,000 ke bawah pula, sebanyak RM0.7 bilion pula diperuntukkan kepada 4.08 juta penerima,” tambah kenyataan tersebut.

Selain itu, bagi penerima M40 dan isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000, sejumlah RM0.29 bilion diperuntukkan kepada 1.43 juta penerima.

Manakala bagi penerima M40 bujang dengan pendapatan RM2,001 hingga RM4,000, sejumlah RM0.18 bilion diperuntukkan kepada 1.74 juta penerima.

“Secara keseluruhannya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta penerima, iaitu 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah dengan jumlah bayaran atau peruntukan sebanyak RM7.18 bilion setakat ini,” jelasnya.

Semakan kelulusan boleh dibuat di portal rasmi BPN melalui https://bsh.hasil.gov.my/ mulai 15 Januari ini.

Sumber: Kementerian Kewangan

The post Bayaran fasa kedua BPN 2.0 dipercepatkan mulai 21 Jan ini first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/3bFk4nF
via Denaihati.com