Thursday, 21 January 2021

Kisah sedih Covid 19 : Ibu ditangkap curi ubat dan makanan untuk anak

Ibu berusia 36 tahun ini hilang pekerjaan sebagai pengasuh, suaminya yang membaiki lif juga tidak bekerja, wang simpanan sangat sedikit ditambah pula anak bongsu sedang sakit dan terpaksa menanggung lapar.

Dalam situasi cukup mendesak, wanita itu perlu melakukan apa saja yang termampu demi anak kecil yang berusia tiga tahun.

Dia mengambil Kool Fever patch dan kek dari sebuah pasar raya, belum sempat memberikan makanan itu kepada anak kecilnya, Norhidayah Hamid ditangkap oleh pengawal keselamatan yang membuat laporan polis berhubung kejadian.

Namun, atas dasar belas ihsan, polis yang datang ke rumahnya tidak sampai hati mahu menahan wanita itu.

Sebaliknya, wanita itu menerima kejutan apabila Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal datang sendiri melawat dan menyampaikan sumbangan di kediamannya hari ini.

Sungguh menyentuh hati, Nik Ezanee mengambil tindakan pantas dengan membeli beberapa barang keperluan untuk keluarga Norhidayah.

Mereka melawat Norhidayah yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, dengan membawa bersama pakej barangan keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Norhidayah berkata, sebelum ini dia seorang pengasuh, kehilangan pekerjaan apabila ibu bapa kepada anak yang diasuhnya tidak lagi memerlukan perkhidmatan kerana mereka kini bekerja dari rumah.

Suaminya yang membaiki lif untuk menampung kehidupan seharian juga sudah kurang mendapat pekerjaan, dan hanya bergantung kepada upah membaiki tandas rumah jiran jika ada permintaan.

Pasangan itu sudah berusaha untuk menyara kehidupan mereka lima beranak selama pandemik.

“Kedua ibu bapa saya telah tiada. Adik beradik duduk di Pahang dan sedang bergelut pula dengan masalah banjir di sana,” kata Norhidayah.

“Saya tida beritahu mereka yang saya sedang alami masalah kewangan disebabkan mereka dalam masalah. Bagaimana saya mahu mengharapkan mereka untuk membantu saya?”

Selepas anak bongsunya jatuh sakit kerana demam, Norhidayah menjadi lebih terdesak sehingga mendorongnya untuk mencuri di sebuah pasar raya.

“Saya hanya ada RM50 dalam poket, dan Kool Fever patch mahal. Ketika itu, saya tidak berfikir dengan baik dan terus menyumbat makanan ke dalam beg saya. Saya fikir untuk menggunakan RM50 beli makanan,” katanya.

Bagaimanapun, Norhidayah ditangkap pengawal keselamatan, yang membuat laporan polis, sekali gus menarik perhatian ketua polis daerah Petaling Jaya, yang turut bersimpati dengan nasib keluarga itu.

“Saya percaya dia ada masalah, kalau tidak dia tidak akan buat perkara tersebut. Kalau kita lapar kita boleh tahan, tapi kalau anak-anak kita yang lapar, itu perkara yang tak boleh kita terima,” katanya di Facebook hari ini.

Di kala orang lain merungut mengenai sekatan jalan raya dan kesesakan trafik ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau mengingatkan orang awam sebenarnya ada yang lebih menderita.

“Mari kita berkorban sedikit dan hadapi kesusahan ini untuk masa depan yang lebih baik. Marilah membantu golongan yang memerlukan selagi kita mampu,” katanya.

Polis mengklasifikan kes Norhidayah sebagai “tiada tindakan lanjut” dan menasihatinya supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Norhidayah berkata, dia berterima kasih kepada polis atas belas kasihan mereka dan pihak lain yang menghulurkan bantuan.

“Saya melakukan kesalahan. Saya sangat berterima kasih atas semua bantuan mereka,” katanya.

Sumber : BERNAMA

The post Kisah sedih Covid 19 : Ibu ditangkap curi ubat dan makanan untuk anak first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/2XZyqr7
via Denaihati.com